Memaparkan catatan dengan label PASTI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PASTI. Papar semua catatan

PENDAFTARAN BARU SESI 2010



PENDAFTARAN murid baru PASTI bagi tahun 2010 sudahpun dibuka di seluruh negeri Kelantan. Sehubungan itu, ibu bapa/penjaga/waris adalah dipelawa dan dialu-alukan untuk mendaftarkan anak/jagaan masing-masing. Sebarang pertanyaan bolehlah diajukan kepada PASTI cawangan yang terdekat..

ATAU hadir sendiri ke pejabat PASTI negeri :-

Tingkat 1, Bangunan PAS Kelantan
Jalan Dato' Pati, 152000, Kota Bharu

Tel :- 09-7486042

PRK MANEK URAI


07072009

Alhamdulillah, bersempena dengan PRK Manek Urai, satu demonstrasi masakan oleh Ahli Parlimen telah diadakan di PASTI Manik Urai Baru baru-baru ini. Biarpun perang kempen pilihan raya kecil manek urai baru sahaja bermula, ahli-ahli parlimen tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama dengan rakyat Manek Urai. Setiap hari sepanjang tempoh berkempen diisi dengan pelbagai acara menarik serta ceramah kempen.



Program tersebut dimeriahkan dengan celoteh ahli-ahli Parlimen yang menunjukkan bakat memasak masing-masing sehingga membuatkan mereka yang hadir merasakan program 'Demonstrasi Nasi Jagung Sihat' akhirnya bertukar menjadi program 'Nasi Jagung YB' lantaran kesemua ahli Parlimen bergilir-gilir membantu menyiapkan hidangan tersebut.

Antara yang hadir memeriahkan program adalah ahli Parlimen Pasir Puteh, Ustaz Mohamad Husin, ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli yang mempengerusikan majlis, ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, ahli Parlimen Jerai, Ustaz Firdaus Jaafar, ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati, Salahudin Ayub, Dato' Mahfuz Omar, ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat, ahli Dewan Undagan Negeri Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman serta diserikan dengan kehadiran isteri calon, Haminah Mah.

Sementara menunggu Nasi Jagung YB masak, Dr Lo’ Lo’ turut menyampaikan ceramah kesihatan mengenai penyakit wabak H1N1. Beliau menyatakan bahawa statistik mangsa di Malaysia kini mencecah ke angka 400 orang kerana jangkitan yang cepat berlaku daripada manusia kepada manusia. Tambahnya, disebabkan terdapat kesukaran untuk membezakan demam, batuk dan selsema biasa dengan wabak H1N1, beliau menyarankan orang ramai yang mempunyai tanda-tanda demam tersebut segera mendapatkan rawatan di klinik yang berhampiran.

"Jika ada anak yang demam pun, jangan benarkan mereka ke sekolah sebaiknya, bawalah mereka ke klinik dengan segera, " katanya.

Ibu bapa juga harus mengajar anak-anak cara membasuh tangan dan perlu sentiasa mengingatkan mereka agar mencuci tangan dengan bersih. Beliau turut menghuraikan tentang penyakit kencing manis yang banyak mengenai masyarakat Kelantan dan menyarankan agar rakyat Kelantan mengubah gaya hidup supaya mengurangkan gula dalam masakan mereka.

PENDIDIKAN AWAL PENENTU KEJAYAAN


Oleh Mohd Ruduan Hasan

Kecemerlangan anak-anak PASTI adalah berpunca natijah daripada apa amalan dan bagaimana pengalaman yang mereka lalui semasa mendapat asuhan di PASTI. Pengalaman belajar di institusi pra sekolah akan tersemat dalam jiwa sanubari mereka. Kesan tarbiah atau pendidikan islam yang diterapkan dengan sebaiknya akan menjadi faktor penentu kejayaan mereka di masa depan.

Selain itu, amat penting juga disemai nilai-nilai keyakinan diri ke dalam diri mereka, kerana kajian telah mendapati bahawa anak-anak yang mempunyai masalah keyakian diri akan lebih mudah terbabit dengan salah laku pelbagai gejala sosial.

Guru-guru PASTI wajib peka terhadap perkara tersebut dan berusaha untuk menggalakkan pembinaan ‘izzah mahupun sakhsiah tunas-tunas PASTI. Berikut digariskan beberapa tips penting yang perlu diusahakan ke arah mencapai tujuan itu :-

1. ZAHIRKAN KASIH SAYANG.

Rangsangan peringkat awal ini penting dan tidak dapat diambil alih oleh rangsangan daripada barang atau benda. Sekiranya mereka rasa diketepikan dan tidak diterima, ianya jadi semakin sukar untuk membina keyakinan dan mempelajari sesuatu. Kasih sayang yang diberikan mesti tanpa syarat iaitu tanpa mengambil kira rupa paras dan kebolehan mereka.

2. BERLAKU ADIL

Guru perlu berlaku adil. Sikap pilih kasih boleh membunuh rasa hormat diri. Mereka akan berasa rendah diri dan terlalu sensitif. Renungkanlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Samakanlah pemberian antara anak seperti kamu sekalian senang apabila mereka adil dalam berbakti yang sama kepada kamu sekalian (ibu bapa).” HR Muslim.

3. FAHAMI DUNIA & EMOSI MEREKA

Fahami dunia dan emosi murid-murid PASTI dengan menggalakkan mereka meluahkan perasaan dan berkongsi masalah. Mengemas buku, jaga kebersihan mungkin masalah besar bagi mereka, namun dengan adanya perhatian dan galakan, mereka akan dapat selesaikan masalah tersebut dengan yakin.

4. JELAS, BERTERUS TERANG

Niat perlu jelas dan tanpa ego apabila membetulkan kesilapan. Guru yang sepatutnya membetulkan ‘perbuatan’ salah laku mereka, bukan diri mereka sendiri. Apabila mereka menconteng buku, jelaskan bahawa perbuatan itu akan merosakkan buku. Elak memarahi dengan mengatakan mereka nakal. Dengan cara ini, mereka akan belajar kenapa sesuatu perbuatan itu tidak boleh dilakukan dan tidak tersalah anggap bahawa diri mereka tidak disukai.

5. TETAPKAN PERATURAN DAN TERANGKAN

Tetap dan jelaskan peraturan yang diberikan kepadanya. Mereka akan belajar daripada pengulangan. Jangan rasa marah dan letih untuk mengulangi peraturan yang sama saban hari kerana inilah cara mereka belajar mengingati sesuatu. Dalam menetapkan peraturan juga, kita mestilah konsisten dan tidak selalu menukar peraturan, misalnya mereka mungkin tidak akan belajar cara membuang sampah yang betul sekiranya bakul sampah sering bertukar tempat.

PENULIS boleh dihubungi di email :- e_where2006@yahoo.com




Kursus Asas Perguruan PASTI Siri II 2009

Pusat Latihan PASTI (PLPK), Kg. Kedai Buluh (27 - 28 Feb 2009)

Alhamdulillah, baru-baru ini telah berlangsung dengan jayanya Kursus Asas Perguruan PASTI Siri II di sini. Anjuran bersama Jabatan PASTI negeri, Majlis Guru Pakar dan Majlis Guru PASTI.

Kursus asas ini merupakan sambungan daripada siri I yang di adakan penghujung Januari lepas. Hampir keseluruhan peserta sesi lepas hadir memberikan komitmen. Banyak ilmu-ilmu mahupun teknik tertentu di dedahkan kepada peserta bagi mengurus sebuah pra sekolah PASTI, agar ianya dapat di tadbir dengan sebaiknya :- baik dari aspek pendidikan, waima pentadbirannya.



Walaupun hanya 2 hari, rata-rata peserta yang di temui melahirkan hasrat agar kursus seumpama ini di adakan dengan lebih kerap kerana, di samping mengeratkan hubungan sesama guru, mereka juga akan mendapat bimbingan & pengawasan sepenuhnya dari PASTI negeri.

Wallahua'lam.






BELASUNGKAWA UST WAN JAMIL


"Jangan kata saya tidak mengalirkan air mata meninggalkan PASTI"


Sabtu, 28 Feb 2009

Begitulah ungkapan keramat yang menjadi azimat buat warga PASTI, dilafazkan oleh bekas Pengarah PASTI Kelantan, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood, 63 yang telah meninggal dunia pagi tadi. Allahyarham merupakan Bekas Pengarah Jabatan PASTI Kelantan, Yang Dipertua PAS kawasan dan juga bekas Ahli Parlimen Tumpat telah menghembus nafas yang terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. 

Beliau dirawat di hospital berkenaan sejak lebih sebulan lalu akibat jangkitan kuman di bahagian buah pinggang.

Ketika hayatnya, Al-Marhum merupakan salah seorang Bekas Pengarah PASTI yang cukup disegani oleh warga PASTI. Keikhlasan beliau yang tidak mengharap sebarang ganjaran daripada sesiapapun sepanjang berada di dalam PASTI mahupun jemaah cukup mengagumkan.

Beliau merupakan seorang yang dedikasi dan penyabar. Kehilangan Allahyarham amat dirasai oleh semua, lebih-lebih lagi kepada warga PASTI Kelantan. Antara jasa-jasa beliau semasa menerajui PASTI ialah, terdirinya dengan megah bangunan Pusat Latihan PASTI di Kg. Kedai Buluh yang merupakan hasil titik peluhnya yang bertungkus lumus mencari dana bagi membina bangunan berkenaan. 

Begitu juga dengan pembayaran elaun kepada guru-guru PASTI yang mula dilaksanakan semasa beliau menerajui PASTI Kelantan. Jasanya amat tinggi dalam memartabatkan PASTI Kelantan dan kini segalanya meninggalkan memori buat kami semua. 

Buat warga PASTI yang membaca tulisan ini marilah kita sama-sama membaca surah Al Fatihah buat Allahyarham.

Al-Fatihah!

TAHNIAH..



BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM..

Segala puji hanya layak buat Allah SWT. Selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Alhamdulillah, seluruh Ahli Lembaga Pengarah, Majlis Guru PASTI (MGP), kakitangan & warga PASTI Kelantan merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas perlantikan guru-guru PASTI sebagai Ahli Majlis Daerah Kerajaan Tempatan. Antaranya ialah :

* Majlis Daerah P. Puteh - Rosmini bt Omar - PASTI Al Fitrah, Wakaf Raja
* Majlis Daerah Tumpat - Jawahir bt Daud - PASTI Tok Wan Ali, Kg Kutan
* Majlis Daerah K. Krai - Maryam bt Hussin - PASTI Al Hidayah, Manek Urai
* Majlis Daerah P.Mas - Noriah bt Zakaria - PASTI Al Mukhlisin, Lubuk Tapah

Mereka yang di temui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih pada pihak majlis daerah serta kepada kerajaan negeri khasnya atas kepercayaan yang diberikan dan menyatakan keazaman untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keinsafan mengikut kemampuan serta kepakaran yang ada.

Semoga Allah SWT. mempermudahkan apa jua usaha yang kita sedang dan akan laksanakan.

Wallahua'lam


PASTI VENIKAM

Sekalung tahniah buat Jabatan PASTI Negeri Perak


Pasir Salak : Satu sejarah baru telah dilakarkan oleh Jabatan PASTI Negeri Perak apabila berjaya menubuhkan sebuah pra sekolah PASTI khas untuk kaum India di Matang Guntung, Seberang Perak, kira-kira 15 km dari Bandar Teluk Intan.

Satu sesi penerangan dan taklimat telah diadakan oleh PASTI Perak terhadap masyarakat kaum India tersebut di awal bulan Januari baru-baru ini. Menurut wakil masyarakat kaum India tersebut, iaitu En.Kumar, kaum India di kawasan tersebut sangat mengharapkan agar PASTI segera dibuka di kawasan berkenaan memandang tiada prasekolah di kawasan tersebut.

Manakala, pra sekolah PASTI pula terbukti lebih baik jika dibandingkan dengan tadika-tadika yang lain. Pengarah PASTI Negeri Perak, Tn. Hj. Hashan Aladi turut hadir dan merakamkan ucapan tahniah serta mengalu-alukan hasrat kaum India berkenaan. Beliau juga turut memberikan taklimat ringkas berhubung dengan sistem persekolahan di PASTI.

PASTI yang bakal ditubuhkan itu diberi nama “PASTI Venikam”. Wallahua'lam

PERGINYA SEORANG PERMATA..

"SETIAP YANG HIDUP PASTI MERASAI MATI"

Baru-baru ini, PASTI Kelantan telah kehilangan seorang guru yang telah banyak berjasa dalam mendidik anak-anak PASTI, seorang yang penuh dedikasi, rajin dan amanah. Beliau yang dimaksudkan ialah, Allahyarhamah Puan Rafeah bt. Abdullah, 46 yang telah kembali ke rahmatullah pada petang Isnin 2 Februari lalu.Beliau yang bertugas di PASTI Zinnur Ain, Kg Beris Tengah, Bachok mengadu demam setelah pulang dari Kuala Terengganu, bagi melakukan kerja-kerja kempen pilihanraya kecil parlimen baru-baru ini. Namun begitu, demamnya kian melarat, beliau akhirnya dimasukkan ke wad Hospital Universiti Sains Kubang Kerian dan menghembuskan nafasnya yang terakhir tepat pada jam 1.30 petang pada hari yang sama.

Setiausaha PASTI Negeri, Cikgu Mohd Nuri, yang turut hadir menziarahi keluarga Allahyarham, menyifatkannya suatu kehilangan besar pada PASTI Kawasan Bachok, lebih-lebih lagi kepada Jabatan PASTI negeri juga. Menurutnya lagi, apatah lagi memandangkan beliau merupakan seorang pendidik yang begitu istiqamah dengan PASTI hingga akhir hayatnya. 


"Allahyarham adalah salah seorang guru yang paling lama mengajar di sekolah Pasti khususnya di kawasan Bachok sejak tahun 1984 lagi,"ujarnya. 

Jelas Nuri lagi, pemergiannya begitu sukar dicari memandangkan beliau memberitahu, walaupun ramai guru-guru sezaman dengannya keluar, namun allahyarham masih kekal bersama Pasti. 

Katanya lagi, saham pengorbanan allahyarham dalam perjuangan Islam bukan hanya di Pasti, sebaliknya dalam parti sendiri khususnya di saat-saat akhir hidupnya beliau sempat berjuang sehingga Parlimen Terengganu berjaya ditawan oleh Pakatan. 

"Kita mendoakan allahyarham mendapat ganjaran yang setimpal dengan apa yang dilakukannya selama ini, khususnya dalam perjuangan Islam,"ujarnya.  

Hadir sama Pengerusi Pasti Kawasan Bachok, Ustaz Malek Riduan. 

Abdullah ketika ditemui tidak dapat menahan sebak apabila diminta mengulas tentang arwah isterinya. Katanya, pada mulanya beliau menjangkakan isterinya demam biasa, namun selepas beberapa hari demam semakin berlarutan dan terasa sakit di seluruh badan. 

"Saya membawanya ke hospital kira-kira pukul 3.00 pagi, bila membuat pemeriksaan didapati ada jangkitan kuman di paru-paru,"ujarnya. 

Namun sambungnya lagi, selepas dua hari berikutnya kesihatannya semakin baik dan dijangkakan allahyarham dapat dibawa pulang pada hari berkenaan.Abdullah menyifatkan allahyarham bukan sahaja sebagai isteri, tetapi seorang kawan apa lagi perkongsian hidup mereka telah mencecah 31 tahun. Menurutnya, Allahyarham seorang isteri yang baik, ibu kepada dua orang anak-anaknya yang banyak berkorban untuk keluarga. 

"Walaupun kami tidak mempunyai zuriat sendiri, namun dua orang anak angkat kami yang juga anak yatim, dijaganya dengan penuh kasih sayang,"ujarnya.Maisarah, 25 dan Nasaruddin Rafei, 16 adalah anak angkat yang dipelihara sejak kecil lagi.Dalam masa yang sama juga, Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan termasuk anggota exco kerajaan negeri, Ustaz Nik Mohd Amar Abdullah dan Adun Tawang Ustaz Hassan Mahmood yang sempat menziarahi Allahyarham. 

"Saya juga nak ucapkan terima kasih pada semua rakan-rakan yang mengambil berat terhadap arwah ni khususnya guru-guru Pasti sendiri,"ujarnya. Sepanjang hayatnya Allahyarham juga merupakan aktivis parti, di mana pernah di amanahkan sebagai Ketua Muslimat UPU Tok Jawa, Ketua Muslimat Dun Tawang sejak awal tahun 1990an.

Wallahua'lam, Al Fatihah 

 

KURSUS ASAS KEMBALI LAGI !!


Pusat Latihan PASTI (PLPK), Kg. Kedai Buluh (22 - 27 Jan 2009)

Alhamdulillah, dengan tujuan utamanya untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran mengurus, mengelola serta menjalankan aktiviti pendidikan awal kanak-kanak, maka kursus ini di anjurkan sekali lagi oleh Jabatan PASTI negeri dengan kerjasama Majlis Guru PASTI negeri.

Kursus asas ini amatlah penting kerana ianya mendedahkan kepada peserta tentang tindakan-tindakan yang perlu dilakukan bagi mengurus sesebuah PASTI baik dari aspek pendidikan, mahupun pentadbirannya. Ianya telah dihadiri seramai 86 orang peserta dari seluruh negeri. Hampir keseluruhan peserta kursus terdiri daripada para guru yang baru melibatkan diri dengan PASTI.

Berbagai slot dan bengkel telah diadakan, di kendaikan oleh barisan penceramah 'tersohor’ telah dijemput oleh urusetia bagi membentangkan kertas kerja masing-masing, termasuk Ust Wan Roslan, Ahli Lembaga Pengarah PASTI negeri dan Ust Azhar yang merupakan Pensyarah KIAS Nilam Puri, yang memukau peserta dengan slotnya apabila beliau menggunakan sepenuhnya komponen ICT.

Selama 5 hari, peserta telah didedahkan dengan pelbagai ilmu, teori, mahupun teknik yang terbaik supaya dapat diterjemahkan di PASTI masing2. Perasmian kursus ini telah disempurnakan oleh Pengarah PASTI negeri, YB Mohd Zaki Ibrahim. Sementara perasmian penutup oleh Sdra. Setiausaha PASTI negeri, Mohd Nuri Mat Yaacob yang turut menyampaikan sijil kepada peserta.

Wallahua'lam.




MAJLIS PERJUMPAAN IBUBAPA :- PASTI AL ARSYADI, PANCHOR

PENGKALAN CHEPA, 10 Jan 2009

Jabatan PASTI Negeri Kelantan bukan sahaja akan menjadikan nasyid Sepohon Kayu sebagai lagu wajib selain Asma Al-Husna, sebaliknya juga akan memberikan ganjaran sebanyak RM1,000 kepada johan yang berjaya mengalunkan nasyid itu dengan baik. Sumbangan yang dianggap tertinggi setakat ini akan diberikan kepada kumpulan nasyid PASTI yang menjadi johan sempena Majlis Ihtifal PASTI Peringkat negeri setiap tahun.

Pengarahnya, YB Mohd Zaki Ibrahim, memberitahu pihaknya mengambil keputusan itu sebagai memenuhi hasrat Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, supaya menjadikan nasyid tersebut sebagai lagu wajib sebagai didikan awal supaya kanak-kanak rajin mengerjakan solat. Ketika ditemui di sini sempena Majlis Perjumpaan Ibubapa PASTI Al Arsyadi, Panchor, beliau memberitahu sebelum ini PASTI Negeri juga telah menjadikan lagu nasyid Asma Al-Husna sebagai lagu wajib.  

"Ianya bertujuan untuk mendidi kanak-kanak mengenali nama-nama Allah sejak kecil, dan Alhamdulillah hasilnya, dalam usia yang sebegini mereka mudah diberi tunjuk ajar bahkan dapat menguasai nasyid berkenaan dengan baik,"ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Kerja PASTI Negeri, Mokhtar Ismail berkata secara keseluruhannya kemasukan pelajar baru ke pra sekolah PASTI di seluruh negeri meningkat berbanding tahun lalu. Menurutnya, sehingga awal Januari ini peningkatan kemasukan pelajar baru dianggarkan sebanyak lima peratus.

"Bagaimanapun kita berkeyakinan jumlah itu akan bertambah lagi sehingga bulan Mac ini memandangkan masih ramai lagi kanak-kanak yang akan belajar di pra sekolah kita,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pertemuan ibubapa dan guru Pusat Tunas-Tunas Islam (Pasti) Al-Arsyadi, Panchor, di sini baru-baru ini. Lebih 100 orang ibubapa pelajar sekolah berkenaan hadir pada majlis tersebut. Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Pasti Kawasan Pengkalan Chepa, Roslan Mat Nor dan Pengerusi Pasti Al-Arsyadi, Muhammad Ismail. Wallahua'lam





SELAMAT KEMBALI KE PASTI


Assalamualaikum..

Selamat kembali ke sekolah kepada murid-murid PASTI yang bercuti panjang. Tanamkanlah azam untuk belajar bersungguh-sungguh hingga mencapai kejayaan yang diidamkan. Walaupun masih di alam pra sekolah, tiada masalah untuk kita mencontohi mereka yang telah berjaya, agar diri kita juga turut teruja dengan ciri-ciri kecemerlangan itu.


Buat guru-guru PASTI pula, rebutlah peluang beramal dengan sebaik mungkin melalui wadah PASTI. Semoga kita semua menjadi insan yang kamil dilengkapi dengan ketajaman minda yang memiliki syaksiah diri untuk kebahagiaan bukan sahaja di dunia malah juga di akhirat. Insya Allah!