MAJLIS PERJUMPAAN IBUBAPA :- PASTI AL ARSYADI, PANCHOR

PENGKALAN CHEPA, 10 Jan 2009

Jabatan PASTI Negeri Kelantan bukan sahaja akan menjadikan nasyid Sepohon Kayu sebagai lagu wajib selain Asma Al-Husna, sebaliknya juga akan memberikan ganjaran sebanyak RM1,000 kepada johan yang berjaya mengalunkan nasyid itu dengan baik. Sumbangan yang dianggap tertinggi setakat ini akan diberikan kepada kumpulan nasyid PASTI yang menjadi johan sempena Majlis Ihtifal PASTI Peringkat negeri setiap tahun.

Pengarahnya, YB Mohd Zaki Ibrahim, memberitahu pihaknya mengambil keputusan itu sebagai memenuhi hasrat Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, supaya menjadikan nasyid tersebut sebagai lagu wajib sebagai didikan awal supaya kanak-kanak rajin mengerjakan solat. Ketika ditemui di sini sempena Majlis Perjumpaan Ibubapa PASTI Al Arsyadi, Panchor, beliau memberitahu sebelum ini PASTI Negeri juga telah menjadikan lagu nasyid Asma Al-Husna sebagai lagu wajib.  

"Ianya bertujuan untuk mendidi kanak-kanak mengenali nama-nama Allah sejak kecil, dan Alhamdulillah hasilnya, dalam usia yang sebegini mereka mudah diberi tunjuk ajar bahkan dapat menguasai nasyid berkenaan dengan baik,"ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Kerja PASTI Negeri, Mokhtar Ismail berkata secara keseluruhannya kemasukan pelajar baru ke pra sekolah PASTI di seluruh negeri meningkat berbanding tahun lalu. Menurutnya, sehingga awal Januari ini peningkatan kemasukan pelajar baru dianggarkan sebanyak lima peratus.

"Bagaimanapun kita berkeyakinan jumlah itu akan bertambah lagi sehingga bulan Mac ini memandangkan masih ramai lagi kanak-kanak yang akan belajar di pra sekolah kita,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pertemuan ibubapa dan guru Pusat Tunas-Tunas Islam (Pasti) Al-Arsyadi, Panchor, di sini baru-baru ini. Lebih 100 orang ibubapa pelajar sekolah berkenaan hadir pada majlis tersebut. Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Pasti Kawasan Pengkalan Chepa, Roslan Mat Nor dan Pengerusi Pasti Al-Arsyadi, Muhammad Ismail. Wallahua'lam