Memaparkan catatan dengan label renungan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label renungan. Papar semua catatan

PENDIDIKAN AWAL PENENTU KEJAYAAN


Oleh Mohd Ruduan Hasan

Kecemerlangan anak-anak PASTI adalah berpunca natijah daripada apa amalan dan bagaimana pengalaman yang mereka lalui semasa mendapat asuhan di PASTI. Pengalaman belajar di institusi pra sekolah akan tersemat dalam jiwa sanubari mereka. Kesan tarbiah atau pendidikan islam yang diterapkan dengan sebaiknya akan menjadi faktor penentu kejayaan mereka di masa depan.

Selain itu, amat penting juga disemai nilai-nilai keyakinan diri ke dalam diri mereka, kerana kajian telah mendapati bahawa anak-anak yang mempunyai masalah keyakian diri akan lebih mudah terbabit dengan salah laku pelbagai gejala sosial.

Guru-guru PASTI wajib peka terhadap perkara tersebut dan berusaha untuk menggalakkan pembinaan ‘izzah mahupun sakhsiah tunas-tunas PASTI. Berikut digariskan beberapa tips penting yang perlu diusahakan ke arah mencapai tujuan itu :-

1. ZAHIRKAN KASIH SAYANG.

Rangsangan peringkat awal ini penting dan tidak dapat diambil alih oleh rangsangan daripada barang atau benda. Sekiranya mereka rasa diketepikan dan tidak diterima, ianya jadi semakin sukar untuk membina keyakinan dan mempelajari sesuatu. Kasih sayang yang diberikan mesti tanpa syarat iaitu tanpa mengambil kira rupa paras dan kebolehan mereka.

2. BERLAKU ADIL

Guru perlu berlaku adil. Sikap pilih kasih boleh membunuh rasa hormat diri. Mereka akan berasa rendah diri dan terlalu sensitif. Renungkanlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Samakanlah pemberian antara anak seperti kamu sekalian senang apabila mereka adil dalam berbakti yang sama kepada kamu sekalian (ibu bapa).” HR Muslim.

3. FAHAMI DUNIA & EMOSI MEREKA

Fahami dunia dan emosi murid-murid PASTI dengan menggalakkan mereka meluahkan perasaan dan berkongsi masalah. Mengemas buku, jaga kebersihan mungkin masalah besar bagi mereka, namun dengan adanya perhatian dan galakan, mereka akan dapat selesaikan masalah tersebut dengan yakin.

4. JELAS, BERTERUS TERANG

Niat perlu jelas dan tanpa ego apabila membetulkan kesilapan. Guru yang sepatutnya membetulkan ‘perbuatan’ salah laku mereka, bukan diri mereka sendiri. Apabila mereka menconteng buku, jelaskan bahawa perbuatan itu akan merosakkan buku. Elak memarahi dengan mengatakan mereka nakal. Dengan cara ini, mereka akan belajar kenapa sesuatu perbuatan itu tidak boleh dilakukan dan tidak tersalah anggap bahawa diri mereka tidak disukai.

5. TETAPKAN PERATURAN DAN TERANGKAN

Tetap dan jelaskan peraturan yang diberikan kepadanya. Mereka akan belajar daripada pengulangan. Jangan rasa marah dan letih untuk mengulangi peraturan yang sama saban hari kerana inilah cara mereka belajar mengingati sesuatu. Dalam menetapkan peraturan juga, kita mestilah konsisten dan tidak selalu menukar peraturan, misalnya mereka mungkin tidak akan belajar cara membuang sampah yang betul sekiranya bakul sampah sering bertukar tempat.

PENULIS boleh dihubungi di email :- e_where2006@yahoo.com




PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK :- SUATU RENUNGAN


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIMM..


"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu & keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan ganas, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." [At-Tahrim: 6]


Anak adalah permata. Permata yang tiada tandingnya ;- kurniaan dari Allah SWT. Tapi adakah kita betul-betul menyayanginya? Bagaimana bentuk kasih-sayang ibubapa kepada anak menurut Islam?

Agama telah menetapkan bahawa menjadi tugas & tanggungjawab seorang ayah berkenaan dengan hak-hak anaknya. Pertama, memberinya ibu yang baik. Kedua, memastikan lingkungan atau persekitaran yang baik bagi anaknya membesar. Ketiga, memberinya pendidikan yang terbaik. Maka dari itu, kahwinilah wanita yang solehah dan cerdas, atau didiklah isteri anda sebaik mungkin. Kemudian carilah tempat tinggal yang aman, selamat, ajaklah jiran-jiran untuk bersama-sama memperbaiki diri. Dan yang terutama, berilah pendidikan kepada anak dengan pendidikan yang baik menurut Islam.

PENDIDIKAN AKADEMIK

Pendidikan akademik anak merupakan tanggungjawab kedua ibubapa. Seorang ayah dan ibu yang baik akan melengkapi dirinya dengan ilmu-ilmu agama. Sebab dalam ilmu agama terdapat ilmu dari berbagai aspek kehidupan, termasuk ilmu mendidik anak sejak dari kecil hinggalah dewasa. Itulah bezanya agama Islam dengan agama-agama lainnya. Jika memang seseorang tidak memiliki ilmu agama yang cukup, atau kurang memiliki waktu untuk mengajar anak, maka tugas orangtua adalah menitipkannya kepada guru yang terbaik.

PENDIDIKAN AMALI

Nabi SAW pernah bersabda :- "Perintahkanlah anak-anakmu yang telah berumur 7 tahun untuk mendirikan solat. Dan pukullah anakmu jika dia meninggalkan sholat, dikala umurnya sudah mencapai 10 tahun".

Tapi sayangnya, tidak banyak orangtua yang menyayangi anaknya. Mereka tidak peduli apakah anaknya cinta kepada Allah atau tidak. Tetapi jika anaknya merosak perabot rumah barulah mereka ambil kisah. Padahal anak-anak adalah merupakan aset ataupun mutiara yang tentunya lebih mahal dari apa jua sekalipun. Persoalannya, kenapa mereka tidak peduli jika 'mutiara' itu jatuh dan rusak. Apakah mereka tidak berfikir?

ANAK ADALAH 'MUTIARA'

Nabi SAW ketika telah selesai mendirikan solat Asar berjemaah di masjid, beliau akan segera pulang menemui puteri-puterinya dan menanyakan apakah mereka telah mendirikan solat? Jika sudah, maka diajak mereka berkumpul dengan sebaik-baik pakaian dan berzikir, berselawat hinggalah hampir ke waktu Maghrib.

Tetapi, apa yang terjadi pula dengan orangtua di zaman ini, mereka membiarkan anak-anak mereka menonton tv, bermain dengan rakan-rakan selama yang mereka mahu. Tidak ada teguran, tiada juga contoh tauladan yang terbaik. Anak-anak dibiarkan leka hingga meninggalkan waktu Solat.

Terlebih parah lagi, membiarkan anak-anak berpakaian seksi sejak dari kecil lagi dengan alasan mengikuti arus perubahan fesyen terkini. Membiarkan anak-anak bergaul tanpa batasan di luar tatasusila kehidupan Islam. Anak-anak gadis pula bebas kesana-kemari walaupun di malam hari. Seolah-olah bangga dengan sebarang tingkah laku sambil membuka aurat dan berpakaian ketat.

Alangkah tak berharganya 'mutiara' di zaman ini. Tidakkah mereka berfikir?