Memaparkan catatan dengan label pra sekolah islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pra sekolah islam. Papar semua catatan

MENDIDIK MURID PASTI TENTANG ERTI PERSAHABATAN


Oleh :- e_where2006@yahoo.com

Assalamualaikum...

Tahniah kepada PASTI Kawasan Kubang Kerian, Ketereh & Kota Bharu kerana berjaya muncul di alam blog. Semoga kawasan lain demikian juga. :)

1. http://pastikbgkerian.blogspot.com
2. http://pastikb.blogspot.com
3. http://pastiketereh.blogspot.com
_______________________________________________________________________

MENDIDIK MURID PASTI TENTANG ERTI PERSAHABATAN

Suatu ketika dahulu, sewaktu anak saya masih di bangku PASTI, dia pulang dari sekolah sambil meremas -remas kertas lukisannya, ketika ditanya mengapa?
Dia menjawab "tiada apa- apa" sambil memuncungkan mulut. Tapi, akhirnya setelah dipujuk, dia mula bersuara dengan mengatakan rakannya mengeji hasil lukisannya yang teruk. Tak cantik.

Kemudian saya mula jelaskan ;- bahawa rakannya hanya mengutuk lukisan, bukan mengeji dirinya. Setiap orang mempunyai hak untuk memberikan pendapatnya dan kita haruslah saling mengasihi satu sama lain.

Sikap rakannya itu adalah sesuatu yang normal. Seorang pakar psikologi kanak-kanak telah menerangkan bahwa anak-anak seusia ini hanya mementing dan memusatkan segala sesuatu pada diri sendiri, tetapi bukan bererti mereka mahu menang sendiri. Ini kerana mereka masih kecil dan tidak sensitif terhadap perasaan orang lain. Kemampuan ini harus diajarkan oleh ibubapa mahupun guru PASTI khasnya.

Langkah berikut mungkin boleh membantu :-

PERANCANGAN.
Anak-anak seusia ini tidak dapat mengatur atau bergaul dengan rakannya, jadi guru PASTI seharusnya menyediakan situasi sosial yang berbeza. Situasi sosial seperti, aktiviti kokurikulum, bersukan, solat berjemaah dan sebagainya. Kesemuanya itu akan membentuk suasana yang nyaman dan selesa untuk mereka. Untuk pertama kali, mereka akan waspada, namun lama kelamaan mereka mulai untuk memberikan respon kepada rakannya. Kita hanya perlu mendorong mereka untuk memiliki hubungan persahabatan.

SENGAJA MENCIPTA SUASANA.
Sengajakan meninggalkan mereka di suatu ruangan untuk bermain, sedangkan guru ataupun ibubapa duduk di ruang lain yang dekat dengan mereka, sambil mendengar dan mengawasi mereka. Mereka memerlukan pengajaran dan bimbingan untuk bermain dengan jujur dan berkompromi. Contohnya, jika mereka berebut permainan maka kita perlu membahagikannya dengan adil, satu -persatu. Hal ini akan mengajarkan mereka tentang konsep keadilan kepada mereka.

MENCONTOHI
Anak-anak kita amat mudah belajar meniru atau mencontohi sesuatu. Bagaimana sikap kita terhadap rakan kita sendiri? Jika kita berbicara tentang rakan kita, maka anak kecil tadi akan mendengar dan mengikuti sikap kita terhadap rakan kita sendiri.

BERSABAR
Akhirnya, sabarlah dengan mereka dan jadilah teman permainannya, walaupun di PASTI ataupun di rumah. Ianya membantu untuk mengurangi "stress" (tekanan) dengan bersemuka dengan mereka. Merasai apa yang mereka rasa. Ini akan menjadi suatu proses yang menyenangan bagi mereka dan bagi anda sendiri.
Wallahua'lam.

PENDIDIKAN AWAL PENENTU KEJAYAAN


Oleh Mohd Ruduan Hasan

Kecemerlangan anak-anak PASTI adalah berpunca natijah daripada apa amalan dan bagaimana pengalaman yang mereka lalui semasa mendapat asuhan di PASTI. Pengalaman belajar di institusi pra sekolah akan tersemat dalam jiwa sanubari mereka. Kesan tarbiah atau pendidikan islam yang diterapkan dengan sebaiknya akan menjadi faktor penentu kejayaan mereka di masa depan.

Selain itu, amat penting juga disemai nilai-nilai keyakinan diri ke dalam diri mereka, kerana kajian telah mendapati bahawa anak-anak yang mempunyai masalah keyakian diri akan lebih mudah terbabit dengan salah laku pelbagai gejala sosial.

Guru-guru PASTI wajib peka terhadap perkara tersebut dan berusaha untuk menggalakkan pembinaan ‘izzah mahupun sakhsiah tunas-tunas PASTI. Berikut digariskan beberapa tips penting yang perlu diusahakan ke arah mencapai tujuan itu :-

1. ZAHIRKAN KASIH SAYANG.

Rangsangan peringkat awal ini penting dan tidak dapat diambil alih oleh rangsangan daripada barang atau benda. Sekiranya mereka rasa diketepikan dan tidak diterima, ianya jadi semakin sukar untuk membina keyakinan dan mempelajari sesuatu. Kasih sayang yang diberikan mesti tanpa syarat iaitu tanpa mengambil kira rupa paras dan kebolehan mereka.

2. BERLAKU ADIL

Guru perlu berlaku adil. Sikap pilih kasih boleh membunuh rasa hormat diri. Mereka akan berasa rendah diri dan terlalu sensitif. Renungkanlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Samakanlah pemberian antara anak seperti kamu sekalian senang apabila mereka adil dalam berbakti yang sama kepada kamu sekalian (ibu bapa).” HR Muslim.

3. FAHAMI DUNIA & EMOSI MEREKA

Fahami dunia dan emosi murid-murid PASTI dengan menggalakkan mereka meluahkan perasaan dan berkongsi masalah. Mengemas buku, jaga kebersihan mungkin masalah besar bagi mereka, namun dengan adanya perhatian dan galakan, mereka akan dapat selesaikan masalah tersebut dengan yakin.

4. JELAS, BERTERUS TERANG

Niat perlu jelas dan tanpa ego apabila membetulkan kesilapan. Guru yang sepatutnya membetulkan ‘perbuatan’ salah laku mereka, bukan diri mereka sendiri. Apabila mereka menconteng buku, jelaskan bahawa perbuatan itu akan merosakkan buku. Elak memarahi dengan mengatakan mereka nakal. Dengan cara ini, mereka akan belajar kenapa sesuatu perbuatan itu tidak boleh dilakukan dan tidak tersalah anggap bahawa diri mereka tidak disukai.

5. TETAPKAN PERATURAN DAN TERANGKAN

Tetap dan jelaskan peraturan yang diberikan kepadanya. Mereka akan belajar daripada pengulangan. Jangan rasa marah dan letih untuk mengulangi peraturan yang sama saban hari kerana inilah cara mereka belajar mengingati sesuatu. Dalam menetapkan peraturan juga, kita mestilah konsisten dan tidak selalu menukar peraturan, misalnya mereka mungkin tidak akan belajar cara membuang sampah yang betul sekiranya bakul sampah sering bertukar tempat.

PENULIS boleh dihubungi di email :- e_where2006@yahoo.com




Kursus Asas Perguruan PASTI Siri II 2009

Pusat Latihan PASTI (PLPK), Kg. Kedai Buluh (27 - 28 Feb 2009)

Alhamdulillah, baru-baru ini telah berlangsung dengan jayanya Kursus Asas Perguruan PASTI Siri II di sini. Anjuran bersama Jabatan PASTI negeri, Majlis Guru Pakar dan Majlis Guru PASTI.

Kursus asas ini merupakan sambungan daripada siri I yang di adakan penghujung Januari lepas. Hampir keseluruhan peserta sesi lepas hadir memberikan komitmen. Banyak ilmu-ilmu mahupun teknik tertentu di dedahkan kepada peserta bagi mengurus sebuah pra sekolah PASTI, agar ianya dapat di tadbir dengan sebaiknya :- baik dari aspek pendidikan, waima pentadbirannya.



Walaupun hanya 2 hari, rata-rata peserta yang di temui melahirkan hasrat agar kursus seumpama ini di adakan dengan lebih kerap kerana, di samping mengeratkan hubungan sesama guru, mereka juga akan mendapat bimbingan & pengawasan sepenuhnya dari PASTI negeri.

Wallahua'lam.






PASTI VENIKAM

Sekalung tahniah buat Jabatan PASTI Negeri Perak


Pasir Salak : Satu sejarah baru telah dilakarkan oleh Jabatan PASTI Negeri Perak apabila berjaya menubuhkan sebuah pra sekolah PASTI khas untuk kaum India di Matang Guntung, Seberang Perak, kira-kira 15 km dari Bandar Teluk Intan.

Satu sesi penerangan dan taklimat telah diadakan oleh PASTI Perak terhadap masyarakat kaum India tersebut di awal bulan Januari baru-baru ini. Menurut wakil masyarakat kaum India tersebut, iaitu En.Kumar, kaum India di kawasan tersebut sangat mengharapkan agar PASTI segera dibuka di kawasan berkenaan memandang tiada prasekolah di kawasan tersebut.

Manakala, pra sekolah PASTI pula terbukti lebih baik jika dibandingkan dengan tadika-tadika yang lain. Pengarah PASTI Negeri Perak, Tn. Hj. Hashan Aladi turut hadir dan merakamkan ucapan tahniah serta mengalu-alukan hasrat kaum India berkenaan. Beliau juga turut memberikan taklimat ringkas berhubung dengan sistem persekolahan di PASTI.

PASTI yang bakal ditubuhkan itu diberi nama “PASTI Venikam”. Wallahua'lam

MAJLIS PERJUMPAAN IBUBAPA :- PASTI AL ARSYADI, PANCHOR

PENGKALAN CHEPA, 10 Jan 2009

Jabatan PASTI Negeri Kelantan bukan sahaja akan menjadikan nasyid Sepohon Kayu sebagai lagu wajib selain Asma Al-Husna, sebaliknya juga akan memberikan ganjaran sebanyak RM1,000 kepada johan yang berjaya mengalunkan nasyid itu dengan baik. Sumbangan yang dianggap tertinggi setakat ini akan diberikan kepada kumpulan nasyid PASTI yang menjadi johan sempena Majlis Ihtifal PASTI Peringkat negeri setiap tahun.

Pengarahnya, YB Mohd Zaki Ibrahim, memberitahu pihaknya mengambil keputusan itu sebagai memenuhi hasrat Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, supaya menjadikan nasyid tersebut sebagai lagu wajib sebagai didikan awal supaya kanak-kanak rajin mengerjakan solat. Ketika ditemui di sini sempena Majlis Perjumpaan Ibubapa PASTI Al Arsyadi, Panchor, beliau memberitahu sebelum ini PASTI Negeri juga telah menjadikan lagu nasyid Asma Al-Husna sebagai lagu wajib.  

"Ianya bertujuan untuk mendidi kanak-kanak mengenali nama-nama Allah sejak kecil, dan Alhamdulillah hasilnya, dalam usia yang sebegini mereka mudah diberi tunjuk ajar bahkan dapat menguasai nasyid berkenaan dengan baik,"ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Kerja PASTI Negeri, Mokhtar Ismail berkata secara keseluruhannya kemasukan pelajar baru ke pra sekolah PASTI di seluruh negeri meningkat berbanding tahun lalu. Menurutnya, sehingga awal Januari ini peningkatan kemasukan pelajar baru dianggarkan sebanyak lima peratus.

"Bagaimanapun kita berkeyakinan jumlah itu akan bertambah lagi sehingga bulan Mac ini memandangkan masih ramai lagi kanak-kanak yang akan belajar di pra sekolah kita,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pertemuan ibubapa dan guru Pusat Tunas-Tunas Islam (Pasti) Al-Arsyadi, Panchor, di sini baru-baru ini. Lebih 100 orang ibubapa pelajar sekolah berkenaan hadir pada majlis tersebut. Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Pasti Kawasan Pengkalan Chepa, Roslan Mat Nor dan Pengerusi Pasti Al-Arsyadi, Muhammad Ismail. Wallahua'lam