PENDIDIKAN AWAL PENENTU KEJAYAAN


Oleh Mohd Ruduan Hasan

Kecemerlangan anak-anak PASTI adalah berpunca natijah daripada apa amalan dan bagaimana pengalaman yang mereka lalui semasa mendapat asuhan di PASTI. Pengalaman belajar di institusi pra sekolah akan tersemat dalam jiwa sanubari mereka. Kesan tarbiah atau pendidikan islam yang diterapkan dengan sebaiknya akan menjadi faktor penentu kejayaan mereka di masa depan.

Selain itu, amat penting juga disemai nilai-nilai keyakinan diri ke dalam diri mereka, kerana kajian telah mendapati bahawa anak-anak yang mempunyai masalah keyakian diri akan lebih mudah terbabit dengan salah laku pelbagai gejala sosial.

Guru-guru PASTI wajib peka terhadap perkara tersebut dan berusaha untuk menggalakkan pembinaan ‘izzah mahupun sakhsiah tunas-tunas PASTI. Berikut digariskan beberapa tips penting yang perlu diusahakan ke arah mencapai tujuan itu :-

1. ZAHIRKAN KASIH SAYANG.

Rangsangan peringkat awal ini penting dan tidak dapat diambil alih oleh rangsangan daripada barang atau benda. Sekiranya mereka rasa diketepikan dan tidak diterima, ianya jadi semakin sukar untuk membina keyakinan dan mempelajari sesuatu. Kasih sayang yang diberikan mesti tanpa syarat iaitu tanpa mengambil kira rupa paras dan kebolehan mereka.

2. BERLAKU ADIL

Guru perlu berlaku adil. Sikap pilih kasih boleh membunuh rasa hormat diri. Mereka akan berasa rendah diri dan terlalu sensitif. Renungkanlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Samakanlah pemberian antara anak seperti kamu sekalian senang apabila mereka adil dalam berbakti yang sama kepada kamu sekalian (ibu bapa).” HR Muslim.

3. FAHAMI DUNIA & EMOSI MEREKA

Fahami dunia dan emosi murid-murid PASTI dengan menggalakkan mereka meluahkan perasaan dan berkongsi masalah. Mengemas buku, jaga kebersihan mungkin masalah besar bagi mereka, namun dengan adanya perhatian dan galakan, mereka akan dapat selesaikan masalah tersebut dengan yakin.

4. JELAS, BERTERUS TERANG

Niat perlu jelas dan tanpa ego apabila membetulkan kesilapan. Guru yang sepatutnya membetulkan ‘perbuatan’ salah laku mereka, bukan diri mereka sendiri. Apabila mereka menconteng buku, jelaskan bahawa perbuatan itu akan merosakkan buku. Elak memarahi dengan mengatakan mereka nakal. Dengan cara ini, mereka akan belajar kenapa sesuatu perbuatan itu tidak boleh dilakukan dan tidak tersalah anggap bahawa diri mereka tidak disukai.

5. TETAPKAN PERATURAN DAN TERANGKAN

Tetap dan jelaskan peraturan yang diberikan kepadanya. Mereka akan belajar daripada pengulangan. Jangan rasa marah dan letih untuk mengulangi peraturan yang sama saban hari kerana inilah cara mereka belajar mengingati sesuatu. Dalam menetapkan peraturan juga, kita mestilah konsisten dan tidak selalu menukar peraturan, misalnya mereka mungkin tidak akan belajar cara membuang sampah yang betul sekiranya bakul sampah sering bertukar tempat.

PENULIS boleh dihubungi di email :- e_where2006@yahoo.com