Memaparkan catatan dengan label Perutusan khas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perutusan khas. Papar semua catatan

SEJARAH PASTI :SUATU SOROTAN:



Cetusan idea untuk menubuhkan pusat prasekolah Islam telah bermula sejak akhir tahun 1970-an. Perkembangan pendidikan yang semakin pesat dan pertumbuhan pusat-pusat didikan prasekolah yang semakin meningkat telah menyemarakkan lagi semangat para pejuang dan pencinta Islam untuk memberikan suatu alternatif kepada sistem pendidikan yang sedia berjalan. Hasil daripada itu maka timbullah idea untuk menubuhkan pusat pendidikan prasekolah Islam. Pada peringkat awalnya diberi nama TADIKA ISLAM.

Antara negeri-negeri awal yang melaksanakan program ini ialah Kedah dan Terengganu. Satu perkara yang menarik pada ketika itu ialah dari segi pengasasan pengelolaan dan pengendalian pusat-pusat berkenaan. Persefahaman antara jamaah Islam khususnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah membahagikan peranan pendidikan pra sekolah kepada ABIM seawal tahun 1980 an. Maka lahirlah pusat- pusat pendidikan pra sekolah Islam yang diberi nama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI).

Di Terengganu pada tahun 1985 TASKI dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Manakala di Kelantan pusat pra sekolah yang dikenali sebagai Putra Islam yang di kendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan sejak tahun 1988.

Di Kedah dan beberapa negeri lain khususnya di sebelah utara telah wujud pusat-pusat pra sekolah yang diberi nama Pusat Asuhan Tunas Islam ( PASTI) yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS negeri masing-masing. Tanggal 10 April 1987 Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Muktamar Tahunan Ke-28 telah meluluskan usul pendidikan yang mendesak diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Prasekolah dibentuk di peringkat Pusat. Ustaz Abu Bakar Abdullah dari Terengganu telah dilantik sebagai Pengarah Jabatan PASTI yang pertama.

Seminar PASTI

Pada 29- 30 Mei 1988 telah berlangsung Seminar Prasekolah di Masjid Rusila Marang, Terengganu yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Dua kertas kerja telah dibentangkan iaitu "Struktur Organisasi dan Penyelarasan Pendidikan Prasekolah" oleh Ustaz Abd Halim Arshat dan "Penyelarasan Manhaj Pendidikan Prasekolah' oleh Ustaz Harun Taib. Ustaz Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai Ketua Pengarah PASTI Pusat yang pertama pada 18 Mei 1989 bersama Sdra. Haji Mohd Najib Fahami Haji Yahaya sebagai Timbalan Ketua Pengarah. Sdra. Ishak Ismail sebagai Setiausaha dan Sdra. Noh Ahmad sebagai Bendahari serta Pengarah-Pengarah PASTI Negeri sebagai Ahli Jawatankuasa PASTI Pusat.


Pada 21 Julai 1991 Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengarahkan semua PASTI menggunakan logo baru yang rasmi dalam semua urusan PASTI. Logo ini telah direka oleh Raja Abdul Aziz Raja Ailan yang memenangi Pertandingan Mencipta Logo PASTI yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat.

PASTI terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dunia hari ini dengan pertambahan kelas-kelas di seluruh negara dan pada suatu ketika meratai kesemua 14 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.

RAMADHAN YANG BERLALU...

Alhamdulillah, syawal yang tiba di sambut riang & dengan penuh rasa syukur.

Sebagaimana lazim, kita semua merayakannya dalam suasana riang disamping menyuburkan amalan ziarah menziarahi, kunjung mengunjungi, bersama sanak saudara dan sahabat handai. Semoga ianya selaras seperti mana yang telah dianjurkan oleh syara’ dengan tidak mencemari dan merosakkan keimanan yang telah kita sucikan disepanjang bulan Ramadhan yang lalu.

Antara lain perkara yang dianjurkan oleh syara’ ialah :-

  • Bermaaf-maafan.
  • Kunjung mengunjung
  • Menyambut dengan cara yang berpatutan, baik dari segi jamuan, perhiasan & berpakaian.
  • Jangan membiarkan anak-anak mereka berhari raya dengan yang bukan mahramnya

Syawal ini, marilah kita rayakan dengan cara yang sederhana tetapi yang penting, ia adalah melahirkan rasa syukur kepada Allah. Janganlah pula kita korbankan kesan didikan daripada puasa itu dengan kita kembali mengikut hawa nafsu kepada perbuatan maksiat. Jiwa yang sudah dibersihkan, dikotorkan semula.

Fikiran yang dijernihkan dengan bacaan Al-Quran diracuni semula dengan kefahaman yang karut. Perangai atau akhlak yang sudah pulih, kita rosakkan pula kerana dorongan syaitan. Walau pun bulan Ramadhan baru berlalu meninggalkan kita, namun perjuangan memerangi hawa nafsu tidak akan turut berlalu.

Oleh yang demikian diantara perkara-perkara atau amalan yang harus kita teruskan setelah kita meninggalkan bulan Ramadhan ialah :

  • Tahu menjaga masa dan menggunakan dengan sebaik-baiknya.
  • Menahan diri, perasaan, kehendak hawa nafsu.
  • Sikap gemar bersedekah, sifat pemurah, sifat suka menolong orang lain
  • Kesungguhan beribadat kepada Allah
  • Berjemaah di masjid atau surau.
  • Sifat tabah sabar dan tahan diuji.

Semoga dengan bermulanya Syawal ini akan menjadi titik tolak dan azam kita untuk meneruskan segala amalan-amalan yang baik samada berupa ibadat atau perkara-perkara kebajikan.

SALAM AIDILFITRI 1428



Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin

IKHLAS DARIPADA KAMI

Ahli Lembaga Pengarah, Kakitangan, Guru-guru
&
seluruh warga PASTI
Jabatan PASTI Negeri Kelantan


SALAM RAMADHAN



Ramadhan Al Mubarak tiba lagi. Bulan yang di turunkan Al Quran dan berlakunya perang Badar Kubra dimana umat islam mendapat kemenangan. Padanya terdapat malam al-qadar yang ganjarannya lebih baik drpd 1000 bulan. Bulan yang penuh dengan keberkatan, dimana setiap amalan sunat dinaikkan taraf sama dengan solat fardhu. Pohonlah keampunan dari Allah, kerana di bulan ini merupakan Bulan Keampunan.

Ramadhan

10 hari pertama adalah - rahmat,
10 hari pertengahan - pengampunan,
10 hari terakhir - kemerdekaan api neraka.

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak dari kami, Lembaga Pengarah, Kakitangan, Blogmaster & seluruh warga PASTI.

Bicara Pengarah..


“ Adalah di harapkan melalui sistem pendidikan pra sekolah PASTI akan dapat merealisasikan visi pendidikan islam bagi mewujudkan modal insan yang penting bagi negara kita. Untuk itu, mampukah kita menjadikan pendidikan PASTI sebagai pilihan utama kepada masyarakat dan bukan lagi bersifat pilihan terakhir? Jesteru itu, sama-samalah kita menyahut seruan dan menggalas cabaran selaras dengan resolusi Pemerkasaan Pendidikan PASTI 2005-2011”

YB Mohamad Zaki Ibrahim
Ihtifal PASTI Pusat, PUTIK, 30-01/07/06