RAMADHAN YANG BERLALU...

Alhamdulillah, syawal yang tiba di sambut riang & dengan penuh rasa syukur.

Sebagaimana lazim, kita semua merayakannya dalam suasana riang disamping menyuburkan amalan ziarah menziarahi, kunjung mengunjungi, bersama sanak saudara dan sahabat handai. Semoga ianya selaras seperti mana yang telah dianjurkan oleh syara’ dengan tidak mencemari dan merosakkan keimanan yang telah kita sucikan disepanjang bulan Ramadhan yang lalu.

Antara lain perkara yang dianjurkan oleh syara’ ialah :-

  • Bermaaf-maafan.
  • Kunjung mengunjung
  • Menyambut dengan cara yang berpatutan, baik dari segi jamuan, perhiasan & berpakaian.
  • Jangan membiarkan anak-anak mereka berhari raya dengan yang bukan mahramnya

Syawal ini, marilah kita rayakan dengan cara yang sederhana tetapi yang penting, ia adalah melahirkan rasa syukur kepada Allah. Janganlah pula kita korbankan kesan didikan daripada puasa itu dengan kita kembali mengikut hawa nafsu kepada perbuatan maksiat. Jiwa yang sudah dibersihkan, dikotorkan semula.

Fikiran yang dijernihkan dengan bacaan Al-Quran diracuni semula dengan kefahaman yang karut. Perangai atau akhlak yang sudah pulih, kita rosakkan pula kerana dorongan syaitan. Walau pun bulan Ramadhan baru berlalu meninggalkan kita, namun perjuangan memerangi hawa nafsu tidak akan turut berlalu.

Oleh yang demikian diantara perkara-perkara atau amalan yang harus kita teruskan setelah kita meninggalkan bulan Ramadhan ialah :

  • Tahu menjaga masa dan menggunakan dengan sebaik-baiknya.
  • Menahan diri, perasaan, kehendak hawa nafsu.
  • Sikap gemar bersedekah, sifat pemurah, sifat suka menolong orang lain
  • Kesungguhan beribadat kepada Allah
  • Berjemaah di masjid atau surau.
  • Sifat tabah sabar dan tahan diuji.

Semoga dengan bermulanya Syawal ini akan menjadi titik tolak dan azam kita untuk meneruskan segala amalan-amalan yang baik samada berupa ibadat atau perkara-perkara kebajikan.