"SETIAP YANG HIDUP PASTI MERASAI MATI"
Baru-baru ini, PASTI Kelantan telah kehilangan seorang guru yang telah banyak berjasa dalam mendidik anak-anak PASTI, seorang yang penuh dedikasi, rajin dan amanah. Beliau yang dimaksudkan ialah, Allahyarhamah Puan Rafeah bt. Abdullah, 46 yang telah kembali ke rahmatullah pada petang Isnin 2 Februari lalu.Beliau yang bertugas di PASTI Zinnur Ain, Kg Beris Tengah, Bachok mengadu demam setelah pulang dari Kuala Terengganu, bagi melakukan kerja-kerja kempen pilihanraya kecil parlimen baru-baru ini. Namun begitu, demamnya kian melarat, beliau akhirnya dimasukkan ke wad Hospital Universiti Sains Kubang Kerian dan menghembuskan nafasnya yang terakhir tepat pada jam 1.30 petang pada hari yang sama.
Setiausaha PASTI Negeri, Cikgu Mohd Nuri, yang turut hadir menziarahi keluarga Allahyarham, menyifatkannya suatu kehilangan besar pada PASTI Kawasan Bachok, lebih-lebih lagi kepada Jabatan PASTI negeri juga. Menurutnya lagi, apatah lagi memandangkan beliau merupakan seorang pendidik yang begitu istiqamah dengan PASTI hingga akhir hayatnya.
"Allahyarham adalah salah seorang guru yang paling lama mengajar di sekolah Pasti khususnya di kawasan Bachok sejak tahun 1984 lagi,"ujarnya.
Jelas Nuri lagi, pemergiannya begitu sukar dicari memandangkan beliau memberitahu, walaupun ramai guru-guru sezaman dengannya keluar, namun allahyarham masih kekal bersama Pasti.
Katanya lagi, saham pengorbanan allahyarham dalam perjuangan Islam bukan hanya di Pasti, sebaliknya dalam parti sendiri khususnya di saat-saat akhir hidupnya beliau sempat berjuang sehingga Parlimen Terengganu berjaya ditawan oleh Pakatan.
"Kita mendoakan allahyarham mendapat ganjaran yang setimpal dengan apa yang dilakukannya selama ini, khususnya dalam perjuangan Islam,"ujarnya.
Hadir sama Pengerusi Pasti Kawasan Bachok, Ustaz Malek Riduan.
Abdullah ketika ditemui tidak dapat menahan sebak apabila diminta mengulas tentang arwah isterinya. Katanya, pada mulanya beliau menjangkakan isterinya demam biasa, namun selepas beberapa hari demam semakin berlarutan dan terasa sakit di seluruh badan.
"Saya membawanya ke hospital kira-kira pukul 3.00 pagi, bila membuat pemeriksaan didapati ada jangkitan kuman di paru-paru,"ujarnya.
Namun sambungnya lagi, selepas dua hari berikutnya kesihatannya semakin baik dan dijangkakan allahyarham dapat dibawa pulang pada hari berkenaan.Abdullah menyifatkan allahyarham bukan sahaja sebagai isteri, tetapi seorang kawan apa lagi perkongsian hidup mereka telah mencecah 31 tahun. Menurutnya, Allahyarham seorang isteri yang baik, ibu kepada dua orang anak-anaknya yang banyak berkorban untuk keluarga.
"Walaupun kami tidak mempunyai zuriat sendiri, namun dua orang anak angkat kami yang juga anak yatim, dijaganya dengan penuh kasih sayang,"ujarnya.Maisarah, 25 dan Nasaruddin Rafei, 16 adalah anak angkat yang dipelihara sejak kecil lagi.Dalam masa yang sama juga, Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan termasuk anggota exco kerajaan negeri, Ustaz Nik Mohd Amar Abdullah dan Adun Tawang Ustaz Hassan Mahmood yang sempat menziarahi Allahyarham.
"Saya juga nak ucapkan terima kasih pada semua rakan-rakan yang mengambil berat terhadap arwah ni khususnya guru-guru Pasti sendiri,"ujarnya. Sepanjang hayatnya Allahyarham juga merupakan aktivis parti, di mana pernah di amanahkan sebagai Ketua Muslimat UPU Tok Jawa, Ketua Muslimat Dun Tawang sejak awal tahun 1990an.
Wallahua'lam, Al Fatihah