BELASUNGKAWA UST WAN JAMIL


"Jangan kata saya tidak mengalirkan air mata meninggalkan PASTI"


Sabtu, 28 Feb 2009

Begitulah ungkapan keramat yang menjadi azimat buat warga PASTI, dilafazkan oleh bekas Pengarah PASTI Kelantan, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood, 63 yang telah meninggal dunia pagi tadi. Allahyarham merupakan Bekas Pengarah Jabatan PASTI Kelantan, Yang Dipertua PAS kawasan dan juga bekas Ahli Parlimen Tumpat telah menghembus nafas yang terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. 

Beliau dirawat di hospital berkenaan sejak lebih sebulan lalu akibat jangkitan kuman di bahagian buah pinggang.

Ketika hayatnya, Al-Marhum merupakan salah seorang Bekas Pengarah PASTI yang cukup disegani oleh warga PASTI. Keikhlasan beliau yang tidak mengharap sebarang ganjaran daripada sesiapapun sepanjang berada di dalam PASTI mahupun jemaah cukup mengagumkan.

Beliau merupakan seorang yang dedikasi dan penyabar. Kehilangan Allahyarham amat dirasai oleh semua, lebih-lebih lagi kepada warga PASTI Kelantan. Antara jasa-jasa beliau semasa menerajui PASTI ialah, terdirinya dengan megah bangunan Pusat Latihan PASTI di Kg. Kedai Buluh yang merupakan hasil titik peluhnya yang bertungkus lumus mencari dana bagi membina bangunan berkenaan. 

Begitu juga dengan pembayaran elaun kepada guru-guru PASTI yang mula dilaksanakan semasa beliau menerajui PASTI Kelantan. Jasanya amat tinggi dalam memartabatkan PASTI Kelantan dan kini segalanya meninggalkan memori buat kami semua. 

Buat warga PASTI yang membaca tulisan ini marilah kita sama-sama membaca surah Al Fatihah buat Allahyarham.

Al-Fatihah!