KURSUS PENDEDAHAN AWAL GURU PASTI



PLPK, 10-13 Z/Qaedah 1428 (20-23 Nov 2007)

Jabatan PASTI Negeri Kelantan, Majlis Guru PASTI dan guru pakar sekali lagi mengembeling tenaga serta bekerjasama bagi menjayakan Kursus Persediaan Awal Guru PASTI 2007 yang telah di adakan di Pusat Latihan PASTI, Kg Kedai Buluh, Kota Bharu baru-baru ini.

Kursus selama 3 hari 4 malam berkenaan merupakan persediaan & pendedahan awal kepada guru yang baru terjun ke bidang pengajian pra sekolah PASTI. Sambutan yang diberikan cukup menggalakkan, dimana diperingkat awal pihak urusetia hanyalah menjangkakan 30 penyertaan sahaja, namun semasa hari pendaftaran ianya meningkat kepada 56 orang.

Rata-rata peserta yang hadir memberikan reaksi yang baik dengan adanya kursus sebegini, dimana mereka mendapat maklumat awal, teknik pengajaran berkesan dan sebagainya sebelum sesi persekolahan yang baru. Secara tidak langsung persediaan rapi dapat dibuat dengan sebaiknya. Pelbagai slot dan kuliah seperti qiamullail, tazkirah subuh, motivasi dan bengkel pengajaran di susun kepada peserta dan dikendalikan sepenuhnya oleh MGP negeri dan guru pakar.

Sementara itu, majlis penutup kursus telah di sempurnakan oleh Pengarah PASTI Kelantan, YB Mohd Zaki Ibrahim. Dalam ucapannya, antara lain menyeru agar guru-guru terus berkorban serta komited dengan tugasan di PASTI walaupun dengan elaun yang sedikit. Beliau juga mengingatkan para peserta agar terus mempertahankan kerajaan Islam Kelantan dengan sepenuh jiwa dan raga demi menjamin kelangsungan pendidikan pra sekolah PASTI.