KORBAN PERDANA & ANUGERAH PELAJAR TERBAIK


Firman Allah SWT :
Sesungguhnya Kami telah memberikan engkau (Wahai Muhamad) kebajikan yang banyak. Sebab itu solatlah kerana Tuhanmu dan sembelihlah korbanmu - Surah Al-Kauthar

PUTIK, 22 Dis 2007, Sabtu

Majlis Korban Perdana & Anugerah Pelajar Cemerlang 2007 telah diadakan di PUTIK, Kota Bharu pada 22 Dis yang lalu dengan jayanya. Hampir 500 orang guru PASTI dari setiap kawasan telah hadir bagi memeriahkan program tersebut. Program berkenaan merupakan acara wajib tahunan yang seringkali diadakan saban tahun. Ianya diserikan lagi dengan jamuan nasi gulai kawah yang dikendalikan sepenuhnya oleh J/Kuasa PASTI & Unit Amal Pengkalan Chepa. Program sehari berkenaan terlebih dulu dimulakan dengan tayangan multimedia isu-isu terkini dan juga rakaman sidang DUN Kelantan yang telah berlangsung baru-baru ini.

Setiausaha PASTI Kelantan, Mohd Nuri Mat Yaacob dalam ucapan aluannya telah menekankan betapa perlunya komitmen berterusan dari setiap warga PASTI bagi memastikan murid-murid lebih berdaya saing lebih-lebih lagi di zaman serba mencabar ini. Manakala Pengarah PASTI Kelantan, YB Mohamad Zaki Ibrahim pula dalam ucapan perasmiannya mengulangi semula penegasan beliau tentang betapa perlunya penglibatan guru PASTI dalam kempen pilihanraya umum nanti. Beliau juga menyeru kepada guru supaya melipatgandakan usaha mempromosi kempen pengambilan pelajar 2008 di samping dalam masa yang sama bermati-matian mempertahankan Kerajaan Islam Kelantan yang di sayangi.

Majlis seterusnya diserikan lagi dengan penyampaian anugerah murid cemerlang oleh YB Pengarah PASTI. Adik Fatin Auni bt Jailani, 5 tahun dari PASTI Kedai Mulong, Kubang Kerian telah terpilih sebagai pelajar terbaik. Manakala adik Iman Aufa bt Zulkifli dari PASTI Al Mukhlisin, Lubuk Tapah, Rantau Panjang pula bagi kategori 6 tahun. Kedua-dua mereka ini merupakan murid terbaik peringkat negeri yang telah menduduki peperiksaan pemilihan di peringkat negeri pada 14 Nov yang lepas di Pusat Latihan PASTI, Kedai Buluh.

Biarpun baru berumur setahun jagung, mereka telah membuktikan kepada semua bahawa usia bukanlah penghalang untuk berjaya lebih-lebih lagi dengan mendapat asuhan dan belajar di PASTI.

Bagi murid yang cemerlang di peringkat kawasan pula, turut menerima hadiah berupa wang tunai & cenderamata dari PASTI negeri. Para ibubapa dan guru yang mengiringi murid pada hari tersebut, rata-ratanya amat berpuas hati dengan pencapaian semua murid jika dibandingkan pada tahun yang lalu.






FLOOD CHARITY


18 Dec 2007,

PASTI Kelantan baru-baru ini telah membuktikan kepada masyarakat umum bahawa ianya tidak hanya terhad kepada aspek pendidikan pra sekolah semata-mata, bahkan mampu mengorak langkah jauh kehadapan dengan membuat program ziarah serta kerja-kerja amal.

Ini dibuktikan apabila seramai 5 orang kakitangan PASTI Kelantan dan MGP negeri telah menyertai Misi Bantuan Banjir ke sekitar Kawasan Rantau Panjang dan Tumpat baru-baru ini. Misi bantuan berkenaan telah diketuai Pengarah Jabatan PASTI Kelantan, YB Mohamad Zaki Ibrahim yang juga merupakan ADUN Kelaboran dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama dengan bekalan makanan keperluan harian untuk diagih kepada mangsa banjir.

Sebuah empangan di selatan Thailand yang telah pecah memburukkan lagi keadaan banjir tersebut. Akibatnya, paras air di Sungai Golok telah melimpah naik secara mendadak terutamanya di tempat rendah. Rata-rata penduduk yang di lawati melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kerana keperihatinan warga PASTI Kelantan yang cepat bertindak menyampaikan bantuan kepada mereka.




IN MEMORIES OF..

"Sesungguhnya, kematian itu adalah milik kejadian"

23 Nov, Teluk Kemunting, Bachok

Seorang pelajar PASTI telah terkorban dalam satu kemalangan yang melibatkan tiga buah motosikal di Kg. Teluk Kemunting, Tawang, Bachok baru-baru ini. Mangsa adalah merupakan salah seorang pelajar PASTI Darul Islam, Bachok telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berhampiran.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 5.00 petang itu, mangsa membonceng motosikal bersama bapa saudaranya, telah dirempuh oleh sebuah motosikal. Ekoran itu, motosikal tersebut hilang kawalan, menyebabkan mangsa terjatuh serta dirempuh pula oleh sebuah motosikal 'mat rempit' dari arah belakang. Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala & dada. Lebih memilukan lagi, kejadian tersebut berlaku hanya beberapa meter dari rumah datuknya.



Sementara itu, pihak keluarga mangsa & penduduk sekitar yang ditemui melahirkan rasa kecewa dan marah dengan gejala rempit yang kian menjadi-jadi sejak akhir ini. Polis dan pihak berkuasa yang lain diminta melipatgandakan usaha bersama orang ramai bagi membenteras gejala berkenaan hingga ke akar umbi.

Keesokan harinya, rombongan pihak PASTI Kelantan telah menziarahi keluarga mangsa dan menyampaikan sumbangan dari Skim Tabung Kebajikan bagi meringankan bebanan keluarga mangsa.

Semoga Allahyarhamah Adik Nurshahirah bt Mohd Zain damai di daerah sana.

KURSUS PENDEDAHAN AWAL GURU PASTI



PLPK, 10-13 Z/Qaedah 1428 (20-23 Nov 2007)

Jabatan PASTI Negeri Kelantan, Majlis Guru PASTI dan guru pakar sekali lagi mengembeling tenaga serta bekerjasama bagi menjayakan Kursus Persediaan Awal Guru PASTI 2007 yang telah di adakan di Pusat Latihan PASTI, Kg Kedai Buluh, Kota Bharu baru-baru ini.

Kursus selama 3 hari 4 malam berkenaan merupakan persediaan & pendedahan awal kepada guru yang baru terjun ke bidang pengajian pra sekolah PASTI. Sambutan yang diberikan cukup menggalakkan, dimana diperingkat awal pihak urusetia hanyalah menjangkakan 30 penyertaan sahaja, namun semasa hari pendaftaran ianya meningkat kepada 56 orang.

Rata-rata peserta yang hadir memberikan reaksi yang baik dengan adanya kursus sebegini, dimana mereka mendapat maklumat awal, teknik pengajaran berkesan dan sebagainya sebelum sesi persekolahan yang baru. Secara tidak langsung persediaan rapi dapat dibuat dengan sebaiknya. Pelbagai slot dan kuliah seperti qiamullail, tazkirah subuh, motivasi dan bengkel pengajaran di susun kepada peserta dan dikendalikan sepenuhnya oleh MGP negeri dan guru pakar.

Sementara itu, majlis penutup kursus telah di sempurnakan oleh Pengarah PASTI Kelantan, YB Mohd Zaki Ibrahim. Dalam ucapannya, antara lain menyeru agar guru-guru terus berkorban serta komited dengan tugasan di PASTI walaupun dengan elaun yang sedikit. Beliau juga mengingatkan para peserta agar terus mempertahankan kerajaan Islam Kelantan dengan sepenuh jiwa dan raga demi menjamin kelangsungan pendidikan pra sekolah PASTI.


PELAJAR PASTI TERBAIK

Pusat Latihan PASTI, 14 Nov 2007

Seramai 28 orang murid PASTI dari seluruh negeri Kelantan telah menduduki ujian pemilihan murid PASTI terbaik peringkat negeri yang telah diadakan di Pusat Latihan PASTI (PLPK), Kg. Kedai Buluh baru-baru ini.. Ujian berkenaan yang dikategorikan kepada 5 dan 6 tahun, telah dimulakan pada jam 10.00 pagi yang dikendalikan sepenuhnya oleh MGP & kakitangan PASTI negeri. Ujian seperti ini juga, terlebih dahulu telah dilakukan di peringkat kawasan pada 06 Nov yang lalu secara serentak di seluruh negeri, dimana murid yang cemerlang di peringkat kawasan masing-masing secara automatik mewakili pula kawasan untuk menjalani uijian pemilihan di peringkat negeri.


Keputusan ujian pada tahun ini, memihak kepada kawasan Rantau Panjang yang telah muncul juara bagi murid 6 tahun, sementara bagi 5 tahun pula di sandang oleh kawasan Kubang Kerian, Kesemua peserta telah diberikan hadiah berupa hamper dan set alatulis.Para ibubapa dan guru yang mengiringi murid pada hari tersebut, rata-ratanya amat berpuas hati dengan pencapaian semua murid jika dibandingkan pada tahun yang lalu.

IHTIFAL PASTI :- PENG CHEPA

PUTIK, 08 Nov

Majlis Ihtifal PASTI Kawasan Pengkalan Chepa telah diadakan dengan meriahnya baru-baru ini di PUTIK, Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Ianya merupakan program wajib tahunan yang seringkali diadakan di semua peringkat menjelang cuti semester akhir persekolahan. Majlis berkenaan, yang biasanya diadakan di peringkat cawangan ataupun sekolah masing-masing, namun pada kali ianya dibuat secara besar-besaran di peringkat kawasan.

Ribuan hadirin yang hadir seawal jam 8 pagi lagi bagi menyaksikan persembahan anak-anak PASTI dalam acara dewan dan padang. Perasmian telah disempurnakan oleh YDP PAS Pengkalan Chepa, YB Ust Nik Mohd Amar, yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Dalam ucapannya, beliau antara lain menyentuh tentang pentingnya pendidikan agama di awal usia kanak-kanak, penghargaan terhadap jasa-jasa guru dan juga mengenai kempen kemasukan pelajar tahun 2008.

Pelbagai acara padang & dewan diadakan antaranya, rebut kerusi, tarik tali, tiup belon, perbarisan kontijen, nasyid, sajak, azan, bercerita & persembahan pentomim. Program tersebut turut diserikan lagi dengan cabutan nombor bertuah yang menawarkan hadiah utama seperti hamper, barangan elektrik & basikal.

MAJLIS HARI RAYA 1428

JKR 10, Kg. Sireh
Jumaat, 02 Nov 2007

Majlis Sambutan Hari Raya PASTI Peringkat Negeri Kelantan telah diadakan dengan meriahnya baru-baru ini di JKR 10, Kg. Sireh. Ianya merupakan majlis anjuran bersama antara PASTI negeri dan Majlis Guru PASTI (MGP). Guru-guru PASTI dari seluruh kawasan telah hadir memenuhi dewan terbuka tersebut sejak awal pagi lagi dengan keluarga masing-masing sambil membawa beraneka jenis kuih muih dan juadah untuk dinikmati bersama.

Setiausaha PASTI Kelantan, Mohd Nuri Mat Yaacob dalam ucapannya antara lain menyentuh :- tentang perlunya penglibatan sepenuhnya guru PASTI dalam kempen pilihanraya umum nanti, di samping bermati-matian mempertahankan Kerajaan Islam Kelantan yang di sayangi. Beliau juga menyeru agar para guru melipatgandakan usaha mempromosikan kempen pengambilan pelajar bagi sesi pengajian tahun 2008 baik di peringkat kawasan mahupun cawangan.

Sementara itu, Pengarah PASTI Kelantan, YB Mohamad Zaki Ibrahim pula dalam amanatnya meminta hadirin mengambil iktibar & renungan dari kisah perjuangan srikandi islam Zainab Al Ghazaly, pemimpin Jami'ah Saidatina Muslimah semasa semasa era kebangkitan Hizbul Muslimin di Mesir yang dipelopori oleh Asy Syahid Imam Hasan Al-Banna. Semasa hayatnya, Zainab telah berkali-kali di seksa, dipenjara, dikeji dan dihina kerana enggan tunduk kepada kerajaan zalim yang dipimpin oleh Perdana Menteri Jamal Nassier.

Sebelum menikmati juadah yang disediakan, majlis terlebih dahulu di serikan lagi dengan slot ceramah perdana oleh Ketua Muslimat PAS Kelantan, Ustazah Zailah dan penyampaian sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir bersama ibubapa masing-masing.



FLASHBACK...RAMADHAN CHARITY 1428

RABU, 12 SEPT. 2007

Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud 'syurga itu di bawah telapak kaki ibu'.
Pengorbanan seorang insan bergelar 'IBU' memang tiada ukurannya. Walaupun diukur dengan emas berjuta, namun kasihnya tiada tara.

Begitulah juga dengan Puan Zaleha bt. Harun, Guru PASTI dari Segamat, Johor yang sanggup datang dari jauh dan berkelana seorang diri di negeri ini bagi menemani anaknya yang terlantar di HUSM, Kubang Kerian. Anaknya yang menderita penyakit barah tulang punggung telah dipindahkan ke HUSM, Kubang Kerian daripada Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu sejak pertengahan bulan Ogos bagi mendapatkan khidmat rawatan doktor pakar terbaik disini.

Menyedari penderitaan yang ditanggunginya, maka Pengarah Bahagian Kebajikan, Jabatan PASTI Pusat , Puan Sarmila bt. Said beserta wakil dari Jabatan PASTI Kelantan dan MGP Kelantan, telah menziarahi Puan Zaleha di HUSM dan menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan penderitaan dan bebanan yang ditanggunginya.

KAU PERGI JUA

MACHANG,

Sabtu, 27 Oktober, 4.00 pm, Adik Mohd Zulhafiz b. Hamzah, 13, anak kepada guru PASTI Al Iman, Kg. Belukar, Machang yang mana kisahnya pernah disiarkan sebelum ini telah kembali jua ke rahmatullah menemui penciptanya yang maha Esa.

Penderitaannya selama hampir 5 tahun melawan penyakit barah otak yg kritikal cukup meruntun jiwa sesiapa sahaja. Beliau tabah, cekal dan berhati waja, walaupun sedar maut sentiasa hampir dengannya. Di usia yang baru 13 tahun, dicuba sedaya upayanya untu
k tidak menyusahkan sesiapa pun dengan penyakitnya itu.



Hanya pada ibu sahajalah, dia bergantung harap. Sementara ibunya, Puan Latifah bt Ismail, sanggup
meletakkan jawatan demi untuk menumpukan sepenuh perhatian dan penjagaan terhadapnya. Semoga arwah damai di daerah sana.

KAU PERGI JUA

Kau sentiasa ceria dan periang,
Menggamit suasana dengan telatah.

Di saat kau terlantar & merintih kesakitan,
Hati kami sayu dan pilu,
Menerima berita dengan air mata,
Agar kau diselamatkan olehNYA.

Ketika kau bergelombang dengan maut,
Setiap hembusan nafasmu ada getaran,
Seperti menahan getaran yang amat mendalam.

Di hening pagi ini....
Kami menerima khabar pemergian mu,
Kau pergi jua menemui yang MAHA PENCIPTA,
Kau pulang kepangkuan pemilik kita semua,

Akan kami sedekahkan doa dan al fatihah,
Menjadi penemanmu dialam sana,
Abadilah dirimu bersama para solihin,
Moga-moga jannatul firdaus menjadi milikmu...

AL FATIHAH BUAT......
Adik Mohd Zulhafiz b. Hamzah


RAMADHAN YANG BERLALU...

Alhamdulillah, syawal yang tiba di sambut riang & dengan penuh rasa syukur.

Sebagaimana lazim, kita semua merayakannya dalam suasana riang disamping menyuburkan amalan ziarah menziarahi, kunjung mengunjungi, bersama sanak saudara dan sahabat handai. Semoga ianya selaras seperti mana yang telah dianjurkan oleh syara’ dengan tidak mencemari dan merosakkan keimanan yang telah kita sucikan disepanjang bulan Ramadhan yang lalu.

Antara lain perkara yang dianjurkan oleh syara’ ialah :-

  • Bermaaf-maafan.
  • Kunjung mengunjung
  • Menyambut dengan cara yang berpatutan, baik dari segi jamuan, perhiasan & berpakaian.
  • Jangan membiarkan anak-anak mereka berhari raya dengan yang bukan mahramnya

Syawal ini, marilah kita rayakan dengan cara yang sederhana tetapi yang penting, ia adalah melahirkan rasa syukur kepada Allah. Janganlah pula kita korbankan kesan didikan daripada puasa itu dengan kita kembali mengikut hawa nafsu kepada perbuatan maksiat. Jiwa yang sudah dibersihkan, dikotorkan semula.

Fikiran yang dijernihkan dengan bacaan Al-Quran diracuni semula dengan kefahaman yang karut. Perangai atau akhlak yang sudah pulih, kita rosakkan pula kerana dorongan syaitan. Walau pun bulan Ramadhan baru berlalu meninggalkan kita, namun perjuangan memerangi hawa nafsu tidak akan turut berlalu.

Oleh yang demikian diantara perkara-perkara atau amalan yang harus kita teruskan setelah kita meninggalkan bulan Ramadhan ialah :

  • Tahu menjaga masa dan menggunakan dengan sebaik-baiknya.
  • Menahan diri, perasaan, kehendak hawa nafsu.
  • Sikap gemar bersedekah, sifat pemurah, sifat suka menolong orang lain
  • Kesungguhan beribadat kepada Allah
  • Berjemaah di masjid atau surau.
  • Sifat tabah sabar dan tahan diuji.

Semoga dengan bermulanya Syawal ini akan menjadi titik tolak dan azam kita untuk meneruskan segala amalan-amalan yang baik samada berupa ibadat atau perkara-perkara kebajikan.

SALAM AIDILFITRI 1428



Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin

IKHLAS DARIPADA KAMI

Ahli Lembaga Pengarah, Kakitangan, Guru-guru
&
seluruh warga PASTI
Jabatan PASTI Negeri Kelantan


TADARRUS PERDANA GURU PASTI

" Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadan 1,400 tahun yang silam, telah menyelamatkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang nyata. Ianya merupakan sumber inspirasi, kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu merubah sikap manusia dari negatif kepada positif. Sayidina Umar al-Khattab yang dulunya bengis dan amat membenci Nabi s.a.w. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya menyebabkannya memeluk agama Islam."

PUTIK, PENG. CHEPA, 29 SEPT. 07

Sejumlah 500 orang guru PASTI dari seluruh negeri Kelantan telah hadir ke Majlis Tadarrus Al Quran Perdana anjuran Jabatan PASTI Kelantan dengan kerjasama Majlis Guru PASTI (MGPNK) yang diadakan di PUTIK, baru-baru ini.

Ianya mendapat sambutan hangat daripada peserta yang hadir seawal jam 8.00 pagi lagi. Majlis berkenaan bermula dengan solat sunat dhuha, solat hajat dan solat tasbih secara berjemaah yang diimamkan oleh Hjh. Nik Aminah Nik Mat, adik Tuan Guru Menteri Besar Kelantan.

Sementara majlis tadarrus pula dibuat secara berkelompok dengan penglibatan semua yang hadir. Seterusnya, sesi ceramah oleh, Ust Saiba b. Yaacob, Setiausaha Politik, Menteri Besar Kelantan. Dalam ceramahnya beliau menyeru kepada hadirin agar mengkaji serta menelaah isi kandungan al quran dengan sepenuhnya kerana didalamnya terkandung segala jenis panduan yang berguna buat manusia dan bukan hanya sekadar membaca beberapa surah yang tertentu sahaja.

Pada sebelah petangnya pula, kertas soalan peperiksaan akhir tahun diedarkan berserta dengan sedikit buahtangan kepada semua yang hadir.


AIDILFITRI YANG PILU

KG. KOK KELI, TUMPAT (26 SEPT. 07)

Sambutan Aidilftri tahun ini mungkin tidak bermakna lagi buat Adik Syed Mohamad Fitri, 6, dari PASTI Al Ihsan, Kg. Kok Keli, Tumpat. Ini kerana rumah kediamannya selama ini telah musnah sama sekali dalam kebakaran awal pagi Selasa (25 Sept 07) yang lalu.

Ianya dikatakan berpunca dari kebakaran rumah jiran yang merebak ke rumahnya dalam masa yang cepat.

Menurut ayahnya, pada pagi tersebut, beliau sedang berehat di ruang tamu sambil menunggu Syed Mohamad Fitri bersiap-siap untuk ke PASTI. Beliau terkejut apabila tiba-tiba anaknya memberitahu ternampak api sedang membakar dinding rumahnya dengan marak.

"Tanpa berlengah lagi saya mengheret Mohamad Fitri keluar dari rumah tanpa sempat menyelamatkan sebarang dokumen penting dan peralatan yang lain". Ujarnya.

** Kepada sesiapa yang ingin membantu Adik Mohamad Fitri, bagi meringankan bebanan keluarganya bolehlah menghubungi Jabatan PASTI Negeri Kelantan di talian 09-7486042

Sinar Harian turut melaporkan tragedi berkenaan
di muka hadapan pada 26 Sept. 2007


MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN ELAUN

JKR 10, KG. SIREH, 22 SEPT. 2007

Sumbangan elaun kepada guru PASTI telah diadakan baru-baru ini di JKR 10, sebagai salah satu penghargaan & pengiktirafan kepada mereka yang bertugas tanpa mengenal penat dan lelah dalam mentarbiah anak-anak PASTI.

Program berkenaan bermula seawal 9.00 pagi dengan ucapan aluan oleh Sdr. Setiausaha PASTI Negeri Kelantan, Mohd Nuri Mat Yaacob. Seterusnya, sesi tazkirah yang disampaikan oleh Ustazah Rafizah yang mengupas mengenai amalan-amalan sunat di bulan ramadhan dan perlunya penglibatan guru PASTI dalam gerakkerja pilihanraya kearah mempertahankan kerajaan islam Kelantan.

Sementara YB Pengarah pula dal
am ucapan perasmiannya pula, meminta para guru agar komited dengan tugasan disamping berganding bahu dengan muslimat, baik di peringkat cawangan mahupun kawasan. Beliau juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang bermurah hati menyalurkan sejumlah peruntukan melalui PASTI negeri untuk pembayaran elaun kepada guru-guru PASTI.

Dalam majlis berkenaan juga, sepanduk, poster pengambilan pelajar sesi 2008 dan kurma sebagai saguhati turut diedarkan kepada guru-guru.

KASIH SEORANG IBU



MACHANG, 26 SEPT

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih saudara masa berada!

Demi kasihnya pada anak tersayang, Puan Latifah bt Ismail, dari Kg. Belukar, Machang terpaksa meletakkan jawatan sebagai guru PASTI bagi menumpukan sepenuh perhatian dan penjagaan terhadap anaknya yang telah menderita penyakit barah otak. Anaknya, Adik Mohd Zulhafiz b Hamzah, 13, telah dikesan mengidap penyakit berkenaan sejak 3 tahun yang lalu semasa darjah 5 dan kini ianya semakin kritikal.

Baru-baru ini, pembedahan pernah dilakukan di salah sebuah hospital dan turut memerlukan pembedahan susulan, namun sudah tentu ianya melibatkan kos perbelanjaan yang cukup besar, sedangkan ayahnya pula hanyalah seorang tukang kebun di sebuah sekolah yang berhampiran. Tambahan pula, risiko pembedahan tersebut agak tingi serta berbahaya kerana melibatkan saraf tunjang di bahagian belakang kepala.

Beliau yang merupakan anak kedua Puan Latifah daripada 3 orang beradik kini, semakin lemah, hampir lumpuh dan hanya terbaring sepanjang masa. Sesekali dia merintih kesakitan. Harapan, perhatian serta jagaan sepenuhnya bergantung kepada ibu yang setia menemani disisi.

(019-9547659)

CERITA DUKA PELAJAR PASTI


SINOPSIS

Diri ini seperti insan lain, sempurna pada mata kasar, namun pergolakan batin di simpan kemas dalam sanubari. Lahir dalam keluarga yang miskin, tanpa sebarang kemewahan duniawi. Ayah dan ibu masing-masing mencari cinta yang lain, sedang diri ini terkontang-kanting sejak bayi. Di manakah kasih sayang yang sering di agungkan. Pada siapa harus di adukan?

Harapkan secebis sinar, menumpang kasih nenek tua. Hanya pada jiran, diri ini mengenal asas agama di PASTI. Di sini, ada kasih sayang yang tak tenilai, ada cinta yang tak pernah dirasakan. Di sini, ada bahagia bersama teman-teman yang sukar dicari!.

Ramadhan ini, air mata membasahi pipi lagi, saat melihat teman riang berbuka bersama keluarga. Syawal nanti...kembalilah bahagia itu ku tunggu !!!

SEBUAH CERITA DUKA

Tiada siapa yang tahu, esak dan tangis hati,
Meratapi nasib diri, hibanya hingga ke saat ini,

Tiada siapa yang memahami, berkecai seluruh harapan,
Tiada siapa yang mengerti, luka pada jiwa kian parah,
Sehingga tiada penawar & ubat-ubatan,
bisa menyembuhkan hati yang berdarah,

Tiada siapa pernah menyedari, kosongnya diri,
Menanggung derita, menahan kecewa,

Tiada siapa pernah peduli, kesengsaraan meratap duka,
Tiada siapa ambil kesah, ranapnya semangat diri,
Meruntun hidup tersisa, sehingga tidak bisa walau untuk meminta,
Tiada siapa penah menyelami, kudrat kian lesu,

Tidak tertanggung dugaan ini, merentap seluruh erti kehidupan,
Tiada siapa penah menduga, diri ini tiada ruang untuk bahagia,
Yang ada hanya seluruh kisah duka, sehingga hujung nyawa.

p/s : Kisah benar, derita seorang pelajar PASTI. Nama, biodata terpaksa di rahsiakan dan ada dalam simpanan penulis. Pada mereka yang ingin membantu, di alu-alukan. Salam Ramadhan

SALAM RAMADHAN



Ramadhan Al Mubarak tiba lagi. Bulan yang di turunkan Al Quran dan berlakunya perang Badar Kubra dimana umat islam mendapat kemenangan. Padanya terdapat malam al-qadar yang ganjarannya lebih baik drpd 1000 bulan. Bulan yang penuh dengan keberkatan, dimana setiap amalan sunat dinaikkan taraf sama dengan solat fardhu. Pohonlah keampunan dari Allah, kerana di bulan ini merupakan Bulan Keampunan.

Ramadhan

10 hari pertama adalah - rahmat,
10 hari pertengahan - pengampunan,
10 hari terakhir - kemerdekaan api neraka.

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak dari kami, Lembaga Pengarah, Kakitangan, Blogmaster & seluruh warga PASTI.

DIARI GURU PASTI - Sebuah kisah benar

PRAKATA

TIDAK pernah terlintas dalam benaknya untuk menjadi seorang guru. Lebih-lebih lagi guru kepada kanak-kanak berumur 4 - 6 tahun. PASTI ini ditubuhkannya dengan bantuan arwah suami tercinta. Tekanan dari segenap ceruk, baik dari kerajaan dan masyarakat dihadapinya dengan tabah. Benar juga kata nabi "Islam di akhir zaman akan ditekan oleh orang islam sendiri". Walaubagaimanapun, diatas kesedaran perlunya pendidikan agama disemai sejak kecil lagi, maka dikuatkan juga semangatnya. Pelbagai kesukaran, kepayahan dan keperitan menjadi teman setia sepanjang kariernya. Gaji yang rendah, prasarana yang kurang, kebajikan yang sederhana dan kadang-kadang terpaksa mengurus sendiri perjalanan & pentadbiran PASTI tanpa perhatian dari AJK yang dilantik. Cukup memeritkan. Mengurus, dan dalam masa yang sama mentarbiah 30 orang murid-murid berseorangan bukanlah perkara yang senang.

DIARI GURU PASTI
(SUATU KETIKA DI BULAN SEPT. 1998)

06.00 am
Solat subuh dan kejutkan anak-anak.

07.00 am
Tiba disekolah
Mengemas, menyapu, membasuh pinggan, memasak
Semak yuran pelajar. Ramai tak bayar. Nampaknya sikit laa elaun bulan ini.
Elaun bulan lepas cuma RM 150 saja..
Dengan duit itulah anak-anak dibesarkan...
Tapi Allah dah janjikan rezeki utk hambanya yang berjuang di jalan agama.
Api dan air sekolah pulak....dah 02 bulan x bayar....
Nak bayar hutang PASTI di kedai Mak Cik Limah macamana???
Minta tolong dgn AJK??
Sejak sebulan dua ni...
batang hidung pun tak nampak.

08.00 am
Kelas bermula
Agak tak selesa. Semalam ribut & hujan lebat. Bocor sana bocor sini.
Kat dinding belakang pulak penuh dengan anai-anai.
Bila laa boleh baiki.
Pagi ni Bahasa Melayu, selepas itu Bahasa Inggeris.
Sedang asyik mengajar..
Aiman terbuang air besar dalam kelas. Kecoh satu kelas. Terpaksa laa kelas 'break' seketika.
Selesai kes Aiman, Aishah pula meraung-meraung macam kena histeria : dicubit oleh rakannya.
Aduhhh...teruk betul.

10.00 am
Minum pagi,
Makan biskut tawar dengan air kopi tea.
Berselera betul budak-budak tu...
Tiba-tiba kecoh lagi. Aishah membalas dendam terhadap rakannya tadi.
Dicurahkannya air tea suam keatas kepala rakannya tadi.
Riuh rendah jadinya.
Sabarrrr jee laaa.

10.30 am
Dua orang lelaki datang melawat. Mengaku sebagai polis.
Minta henti dan tutup sekolah ini.
Tanya itu dan ini... Siap bagi amaran lagi.
Awalnya gabra jugakk.
Tapi, salah ke mengajar agama untuk budak-budak?
Entah laa... dunia akhir zaman...yang mengajar agama di tekan, yang buat maksiat di lepaskan.

11.00 am
Subjek Matematik dan Al Quran. Semua subjek kena pandai.
Maklum lah...guru contoh la katakan. :)

12.00 pm
Kelas Qiraati, jadi ustazah pulak.
Ibu Fatimah datang awal...bagi komen pedas dan panas.
Kenapa anaknya masih tak pandai membaca, walhal sudah berumur 06 tahun.
" Kalau tak pandai...tak payah mengajar"
Terpaksa laa jawab dengan berhemah.
Memang aku tak pandai...sekolah pun lulus STPM je..
Aduhh...nanar juga seketika.

12.30 pm
Kelas berakhir.
Bergegas ambil anak di sekolah yang berhampiran.

02.00 pm
Kelas Fardhu Ain di PASTI
Sekali fikir penat juga.

03.30 pm
Petik lobak & kacang di belakang rumah.
Pergi menjaja keliling kampung.
Dari rumah ke rumah. Malu tak payah cerita. Tapi demi sesuap rezeki.....diteruskan jua.
Arwah suami pernah berpesan.
"Janganlah berputus asa untuk hidup walaupun terpaksa menjual selipar buruk.
Berjuang lah demi agama dan anak-anak,
kerana mereka merupakan harta kita".
Air mata ini tanpa diminta menitis lagi..
Membasahi pipi kesekian kali.

05.00 pm
Jualan tak habis hari ini.
Sedekahkan kepada jiran.
Basikal pancit, terpaksa berjalan kaki dekat 3 kilometer ke rumah.
Penatnya..hanya tuhan yang tahu.
Jiran-jiran setiap hari dok kata.
"Dah laa mengajar nyerr...tak kaya pun kamu dengan kerja tu"
Betul juga...kalau ikutkan hati...dah lama berhenti.
Tapi...diri ini telah ditarbiah. Kerja ini akan diteruskan hingga ke akhir hayat ini.
Kerana pahala seorang guru akan berterusan selamanya.
Lebih hebat dari saham Pak Man Telo. :)

05.30 pm
Malam ini ada pasar minggu berhampiran rumah.
Kena jual kuih pula..
Tak buat sendiri, cuma berkerja dengan makcik sebelah rumah.
Dia bayar RM 15.00. Syukur, boleh buat belanja dapur dan anak-anak.

09.00 pm
Ada mesyuarat cawangan kat Surau.
Hari sabtu ni...diorang nak jemput penceramah datang sini.
Ceramah perdana. Pilihanraya pun dah dekat.

10.30 pm
Baru sampai rumah.
Nasib baik anak-anak pandai urus diri. Semua dah lena.
Ringan sikit tulang. Baru nak lelapkan mata...
Kak Besah datang 'menyerang' lagi..
Kononya cuba 'tackle' suami dia..walhal suaminya pun tak aku kenali.
Baru-baru ini dia buat hal depan orang ramai...kat kedai kopi.
Tuduh aku itu dan ini...

Ya Allah...Kuatkan hati hamba Mu ini.

p/s : Diari diatas adalah merupakan kisah benar seorang guru PASTI dan ianya telah diolah dengan sebaiknya. Cerita, nama & watak telah ditukar bagi menjaga sensitiviti individu tertentu. Guru berkenaan telah pun kembali ke ramatullah baru-baru ini. PASTI nya kini di tadbir oleh 2 orang guru baru yang mengambil alih tugas mentarbiah 50 orang pelajar.

Semoga kisahnya, menjadi iktibar buat semua..


KURSUS PERGURUAN PASTI PERINGKAT SIJIL 2007

Pusat Latihan PASTI, Kedai Buluh, 21 - 25 Ogos 2007

"Guru PASTI perlu diberi pendedahan mengenai teknik-teknik terkini kaedah pembelajaran & pengajaran (P&P) supaya pelajar dapat menerima ilmu dengan baik, di samping itu juga mereka perlu sentiasa peka dengan kaedah-kaedah pengajaran supaya tidak ketinggalan dalam arus pendidikan."

- Wan Roslan Wan Hamat, ALP PASTI Kelantan
(25/8/2007)


Kursus Persijilan Guru PASTI Peringkat Sijil 2007 telah diadakan dengan jayanya baru-baru ini di Pusat Latihan PASTI, Kedai Buluh. Seramai 55 orang guru PASTI dari seluruh negeri Kelantan telah terlibat dengan kursus ini, yang juga merupakan lanjutan daripada Kursus Peringkat Asas yang diadakan awal tahun ini.

Para peserta telah berkampung selama 05 hari di pusat latihan berkenaan. Pengisian kursus antara lainnya ialah, sesi ta'aruf, tazkirah, slot motivasi, kuliah-kuliah P&P, bengkel LDK & qiamullail yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah jemputan, MGP & guru pakar.

Sementara, majlis penutupnya pula telah disempurnakan oleh Ust. Wan Roslan Wan Hamat, Ahli Lembaga Pengarah PASTI Kelantan.

LAWATAN MGP KULIM BANDAR BARU, KEDAH



21 OGOS 2007

Kelantan Darul Naim sekali lagi telah menjadi pilihan buat mereka yang ingin melihat sendiri perlaksanaan dan perkembangan terkini pemerintahan Islam di Malaysia.

Ini terbukti apabila seramai 60 orang guru-guru PASTI Kawasan Kulim Bandar Baru, Kedah yang telah mengadakan program lawatan sambil belajar ke negeri Kelantan. Rombongan berkenaan terdiri daripada AJK PASTI kawasan, guru berserta ahli keluarga masing-masing.

Rombongan berkenaan terlebih dahulu diraikan di Dewan Astaka, JKR 10, Kota Bharu oleh MGP Negeri Kelantan sebelum di berikan taklimat & penerangan mengenai PASTI dan isu-isu semasa oleh Sdr Setiausaha PASTI Kelantan, Cikgu Mohd Nuri.

Seterusnya, ahli rombongan telah berkesempatan mendengar amanat serta bergambar bersama YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan yang berkebetulan hadir bagi meraikan rombongan masyarakat tionghua dari Ipoh, Perak.

2.00 - 3.00 pm
- Lawatan ke Kilang Perusahaan Batik (Razali Batik Sdn Bhd)

3.00 - 3.30 pm

- Ke Pantai Cahaya Bulan (PCB)
- Shopping di gerai-gerai kraftangan berhampiran

3.30 - 4.30 pm

- Tinjauan ke Pusat Latihan PASTI Kelantan, Kg. Kedai Buluh

4.30 - 5.30 pm
- Solat Asar di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka
- Majlis Ramah Mesra bersama YAB. Datin Isteri MB

5.30 - 7.00 pm
- Lawatan ke PASTI Darul Naim, Jelawat, Bachok
- Menginap di CT Tg. Chat Chalet, Pantai Bachok

Rombongan berkenaan bertolak pulang pada pagi keesokan harinya

MAJLIS DIALOG PASTI KAWASAN KBG. KERIAN

"Guru PASTI perlulah peka dan prihatin dengan keadaan sekeliling, merangkumi isu-isu semasa, ekonomi, sosio-budaya dan sebagainya agar tidak ketinggalan dalam masyarakat, lebih-lebih lagi dalam bidang pendidikan."

- Mohd Nuri Mat Yaakob

Ahad, 20 Ogos 2007, Pasir Tumbuh

Seramai 50 orang guru PASTI telah hadir ke Program Dialog & Ramah Mesra PASTI Kawasan Kubang Kerian. Ianya merupakan program rutin setiap bulan yang menghimpunkan semua PASTI merangkumi DUN Salor, Demit & Pasir Tumbuh dalam Parlimen Kbg. Kerian.

Program berkenaan telah diadakan di Masjid Al Aziz, SMU (A) Taqaddum Maarif, Pasir Tumboh. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Cikgu Mohd Nuri, Setiausaha PASTI Kelantan merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Kbg. Kerian. Dalam amanatnya, beliau antara lain telah menyeru kepada guru-guru agar turut sama melibatkan diri dalam masyarakat, peka dan cakno dengan isu-isu semasa serta turut kehadapan dalam isu yang melibatkan kepentingan orang ramai kerana mereka merupakan duta kepada kerajaan negeri.

Sementara dalam majlis dialog pula, guru-guru telah mengemukakan beberapa persoalan dan cadangan kepada AJK PASTI kawasan meliputi aspek kebajikan, pendidikan & pelbagai perkara kearah menjayakan sistem pendidikan pra-sekolah PASTI di Kbg. Kerian mahupun di Malaysia amnya.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE NEGERI SARAWAK



16 - 19 OGOS 2007


Seramai 45 orang ahli rombongan Jabatan PASTI Negeri Kelantan telah berkunjung ke Negeri Sarawak dalam program lawatan sambil belajar. Peserta rombongan terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah, staff pejabat, MGP dan guru pakar.

Rombongan berkenaan bertolak dari Kota Bharu seawal jam 8.30 pagi dengan penerbangan Air Asia ke Kuala Lumpur. Sementara dari LCCT, Kuala Lumpur ke LTAK, Kuching pula bertolak 3.30 ptg dan hanya mengambil masa hanya 1 jam 40 minit. Setibanya di Kuching, rombongan berkenaan telah di bawa ke tempat penginapan di Harbour View Hotel.

(17/08/2007 ) Jumaat

09.00 - 10.00 pg - Lawatan kerja ke PASTI Insani, Taman Matang Jaya.
10.00 - 12.00 tgh - Muzium Kuching, Dewan Bandaraya Kuching Utara
12.00 - 01.30 ptg - Kilang Perusahaan Kek Lapis Dayang Salhah, Kg. Boyan
03.00 - 06.30 ptg - Ke Kg. Budaya Sarawak, Santubong
09.00 - 12.00 mlm - Program bersama Pemuda PAS Sarawak di Matang Jaya

(18/08/2007) Sabtu

09.00 - 12.00 tgh - Ke Pekan Sarikin
12.00 - 02.00 ptg - Kilang perusahaan pasu
02.00 - 03.30 ptg - Makan tengahari & shopping di Sarawak Plaza
03.30 - 07.00 mlm - Rehat

(19/08/2007) Ahad

09.00 - 10.00 pg - Pasar minggu Satok
10.00 - 12.00 tgh - Program bersama PERAKAN di Dewan DBP Sarawak
12.00 - 03.00 ptg - Check in LTAK untuk bertolak pulang ke KLIA
05.00 - 8.00 mlm - Tiba di KLIA dan berlepas pulang ke KB