BELASUNGKAWA UST WAN JAMIL


"Jangan kata saya tidak mengalirkan air mata meninggalkan PASTI"


Sabtu, 28 Feb 2009

Begitulah ungkapan keramat yang menjadi azimat buat warga PASTI, dilafazkan oleh bekas Pengarah PASTI Kelantan, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood, 63 yang telah meninggal dunia pagi tadi. Allahyarham merupakan Bekas Pengarah Jabatan PASTI Kelantan, Yang Dipertua PAS kawasan dan juga bekas Ahli Parlimen Tumpat telah menghembus nafas yang terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. 

Beliau dirawat di hospital berkenaan sejak lebih sebulan lalu akibat jangkitan kuman di bahagian buah pinggang.

Ketika hayatnya, Al-Marhum merupakan salah seorang Bekas Pengarah PASTI yang cukup disegani oleh warga PASTI. Keikhlasan beliau yang tidak mengharap sebarang ganjaran daripada sesiapapun sepanjang berada di dalam PASTI mahupun jemaah cukup mengagumkan.

Beliau merupakan seorang yang dedikasi dan penyabar. Kehilangan Allahyarham amat dirasai oleh semua, lebih-lebih lagi kepada warga PASTI Kelantan. Antara jasa-jasa beliau semasa menerajui PASTI ialah, terdirinya dengan megah bangunan Pusat Latihan PASTI di Kg. Kedai Buluh yang merupakan hasil titik peluhnya yang bertungkus lumus mencari dana bagi membina bangunan berkenaan. 

Begitu juga dengan pembayaran elaun kepada guru-guru PASTI yang mula dilaksanakan semasa beliau menerajui PASTI Kelantan. Jasanya amat tinggi dalam memartabatkan PASTI Kelantan dan kini segalanya meninggalkan memori buat kami semua. 

Buat warga PASTI yang membaca tulisan ini marilah kita sama-sama membaca surah Al Fatihah buat Allahyarham.

Al-Fatihah!

TAHNIAH..



BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM..

Segala puji hanya layak buat Allah SWT. Selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Alhamdulillah, seluruh Ahli Lembaga Pengarah, Majlis Guru PASTI (MGP), kakitangan & warga PASTI Kelantan merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas perlantikan guru-guru PASTI sebagai Ahli Majlis Daerah Kerajaan Tempatan. Antaranya ialah :

* Majlis Daerah P. Puteh - Rosmini bt Omar - PASTI Al Fitrah, Wakaf Raja
* Majlis Daerah Tumpat - Jawahir bt Daud - PASTI Tok Wan Ali, Kg Kutan
* Majlis Daerah K. Krai - Maryam bt Hussin - PASTI Al Hidayah, Manek Urai
* Majlis Daerah P.Mas - Noriah bt Zakaria - PASTI Al Mukhlisin, Lubuk Tapah

Mereka yang di temui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih pada pihak majlis daerah serta kepada kerajaan negeri khasnya atas kepercayaan yang diberikan dan menyatakan keazaman untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keinsafan mengikut kemampuan serta kepakaran yang ada.

Semoga Allah SWT. mempermudahkan apa jua usaha yang kita sedang dan akan laksanakan.

Wallahua'lam


PASTI VENIKAM

Sekalung tahniah buat Jabatan PASTI Negeri Perak


Pasir Salak : Satu sejarah baru telah dilakarkan oleh Jabatan PASTI Negeri Perak apabila berjaya menubuhkan sebuah pra sekolah PASTI khas untuk kaum India di Matang Guntung, Seberang Perak, kira-kira 15 km dari Bandar Teluk Intan.

Satu sesi penerangan dan taklimat telah diadakan oleh PASTI Perak terhadap masyarakat kaum India tersebut di awal bulan Januari baru-baru ini. Menurut wakil masyarakat kaum India tersebut, iaitu En.Kumar, kaum India di kawasan tersebut sangat mengharapkan agar PASTI segera dibuka di kawasan berkenaan memandang tiada prasekolah di kawasan tersebut.

Manakala, pra sekolah PASTI pula terbukti lebih baik jika dibandingkan dengan tadika-tadika yang lain. Pengarah PASTI Negeri Perak, Tn. Hj. Hashan Aladi turut hadir dan merakamkan ucapan tahniah serta mengalu-alukan hasrat kaum India berkenaan. Beliau juga turut memberikan taklimat ringkas berhubung dengan sistem persekolahan di PASTI.

PASTI yang bakal ditubuhkan itu diberi nama “PASTI Venikam”. Wallahua'lam

PERGINYA SEORANG PERMATA..

"SETIAP YANG HIDUP PASTI MERASAI MATI"

Baru-baru ini, PASTI Kelantan telah kehilangan seorang guru yang telah banyak berjasa dalam mendidik anak-anak PASTI, seorang yang penuh dedikasi, rajin dan amanah. Beliau yang dimaksudkan ialah, Allahyarhamah Puan Rafeah bt. Abdullah, 46 yang telah kembali ke rahmatullah pada petang Isnin 2 Februari lalu.Beliau yang bertugas di PASTI Zinnur Ain, Kg Beris Tengah, Bachok mengadu demam setelah pulang dari Kuala Terengganu, bagi melakukan kerja-kerja kempen pilihanraya kecil parlimen baru-baru ini. Namun begitu, demamnya kian melarat, beliau akhirnya dimasukkan ke wad Hospital Universiti Sains Kubang Kerian dan menghembuskan nafasnya yang terakhir tepat pada jam 1.30 petang pada hari yang sama.

Setiausaha PASTI Negeri, Cikgu Mohd Nuri, yang turut hadir menziarahi keluarga Allahyarham, menyifatkannya suatu kehilangan besar pada PASTI Kawasan Bachok, lebih-lebih lagi kepada Jabatan PASTI negeri juga. Menurutnya lagi, apatah lagi memandangkan beliau merupakan seorang pendidik yang begitu istiqamah dengan PASTI hingga akhir hayatnya. 


"Allahyarham adalah salah seorang guru yang paling lama mengajar di sekolah Pasti khususnya di kawasan Bachok sejak tahun 1984 lagi,"ujarnya. 

Jelas Nuri lagi, pemergiannya begitu sukar dicari memandangkan beliau memberitahu, walaupun ramai guru-guru sezaman dengannya keluar, namun allahyarham masih kekal bersama Pasti. 

Katanya lagi, saham pengorbanan allahyarham dalam perjuangan Islam bukan hanya di Pasti, sebaliknya dalam parti sendiri khususnya di saat-saat akhir hidupnya beliau sempat berjuang sehingga Parlimen Terengganu berjaya ditawan oleh Pakatan. 

"Kita mendoakan allahyarham mendapat ganjaran yang setimpal dengan apa yang dilakukannya selama ini, khususnya dalam perjuangan Islam,"ujarnya.  

Hadir sama Pengerusi Pasti Kawasan Bachok, Ustaz Malek Riduan. 

Abdullah ketika ditemui tidak dapat menahan sebak apabila diminta mengulas tentang arwah isterinya. Katanya, pada mulanya beliau menjangkakan isterinya demam biasa, namun selepas beberapa hari demam semakin berlarutan dan terasa sakit di seluruh badan. 

"Saya membawanya ke hospital kira-kira pukul 3.00 pagi, bila membuat pemeriksaan didapati ada jangkitan kuman di paru-paru,"ujarnya. 

Namun sambungnya lagi, selepas dua hari berikutnya kesihatannya semakin baik dan dijangkakan allahyarham dapat dibawa pulang pada hari berkenaan.Abdullah menyifatkan allahyarham bukan sahaja sebagai isteri, tetapi seorang kawan apa lagi perkongsian hidup mereka telah mencecah 31 tahun. Menurutnya, Allahyarham seorang isteri yang baik, ibu kepada dua orang anak-anaknya yang banyak berkorban untuk keluarga. 

"Walaupun kami tidak mempunyai zuriat sendiri, namun dua orang anak angkat kami yang juga anak yatim, dijaganya dengan penuh kasih sayang,"ujarnya.Maisarah, 25 dan Nasaruddin Rafei, 16 adalah anak angkat yang dipelihara sejak kecil lagi.Dalam masa yang sama juga, Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan termasuk anggota exco kerajaan negeri, Ustaz Nik Mohd Amar Abdullah dan Adun Tawang Ustaz Hassan Mahmood yang sempat menziarahi Allahyarham. 

"Saya juga nak ucapkan terima kasih pada semua rakan-rakan yang mengambil berat terhadap arwah ni khususnya guru-guru Pasti sendiri,"ujarnya. Sepanjang hayatnya Allahyarham juga merupakan aktivis parti, di mana pernah di amanahkan sebagai Ketua Muslimat UPU Tok Jawa, Ketua Muslimat Dun Tawang sejak awal tahun 1990an.

Wallahua'lam, Al Fatihah