KORBAN PERDANA & ANUGERAH PELAJAR TERBAIK


Firman Allah SWT :
Sesungguhnya Kami telah memberikan engkau (Wahai Muhamad) kebajikan yang banyak. Sebab itu solatlah kerana Tuhanmu dan sembelihlah korbanmu - Surah Al-Kauthar

PUTIK, 22 Dis 2007, Sabtu

Majlis Korban Perdana & Anugerah Pelajar Cemerlang 2007 telah diadakan di PUTIK, Kota Bharu pada 22 Dis yang lalu dengan jayanya. Hampir 500 orang guru PASTI dari setiap kawasan telah hadir bagi memeriahkan program tersebut. Program berkenaan merupakan acara wajib tahunan yang seringkali diadakan saban tahun. Ianya diserikan lagi dengan jamuan nasi gulai kawah yang dikendalikan sepenuhnya oleh J/Kuasa PASTI & Unit Amal Pengkalan Chepa. Program sehari berkenaan terlebih dulu dimulakan dengan tayangan multimedia isu-isu terkini dan juga rakaman sidang DUN Kelantan yang telah berlangsung baru-baru ini.

Setiausaha PASTI Kelantan, Mohd Nuri Mat Yaacob dalam ucapan aluannya telah menekankan betapa perlunya komitmen berterusan dari setiap warga PASTI bagi memastikan murid-murid lebih berdaya saing lebih-lebih lagi di zaman serba mencabar ini. Manakala Pengarah PASTI Kelantan, YB Mohamad Zaki Ibrahim pula dalam ucapan perasmiannya mengulangi semula penegasan beliau tentang betapa perlunya penglibatan guru PASTI dalam kempen pilihanraya umum nanti. Beliau juga menyeru kepada guru supaya melipatgandakan usaha mempromosi kempen pengambilan pelajar 2008 di samping dalam masa yang sama bermati-matian mempertahankan Kerajaan Islam Kelantan yang di sayangi.

Majlis seterusnya diserikan lagi dengan penyampaian anugerah murid cemerlang oleh YB Pengarah PASTI. Adik Fatin Auni bt Jailani, 5 tahun dari PASTI Kedai Mulong, Kubang Kerian telah terpilih sebagai pelajar terbaik. Manakala adik Iman Aufa bt Zulkifli dari PASTI Al Mukhlisin, Lubuk Tapah, Rantau Panjang pula bagi kategori 6 tahun. Kedua-dua mereka ini merupakan murid terbaik peringkat negeri yang telah menduduki peperiksaan pemilihan di peringkat negeri pada 14 Nov yang lepas di Pusat Latihan PASTI, Kedai Buluh.

Biarpun baru berumur setahun jagung, mereka telah membuktikan kepada semua bahawa usia bukanlah penghalang untuk berjaya lebih-lebih lagi dengan mendapat asuhan dan belajar di PASTI.

Bagi murid yang cemerlang di peringkat kawasan pula, turut menerima hadiah berupa wang tunai & cenderamata dari PASTI negeri. Para ibubapa dan guru yang mengiringi murid pada hari tersebut, rata-ratanya amat berpuas hati dengan pencapaian semua murid jika dibandingkan pada tahun yang lalu.






FLOOD CHARITY


18 Dec 2007,

PASTI Kelantan baru-baru ini telah membuktikan kepada masyarakat umum bahawa ianya tidak hanya terhad kepada aspek pendidikan pra sekolah semata-mata, bahkan mampu mengorak langkah jauh kehadapan dengan membuat program ziarah serta kerja-kerja amal.

Ini dibuktikan apabila seramai 5 orang kakitangan PASTI Kelantan dan MGP negeri telah menyertai Misi Bantuan Banjir ke sekitar Kawasan Rantau Panjang dan Tumpat baru-baru ini. Misi bantuan berkenaan telah diketuai Pengarah Jabatan PASTI Kelantan, YB Mohamad Zaki Ibrahim yang juga merupakan ADUN Kelaboran dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama dengan bekalan makanan keperluan harian untuk diagih kepada mangsa banjir.

Sebuah empangan di selatan Thailand yang telah pecah memburukkan lagi keadaan banjir tersebut. Akibatnya, paras air di Sungai Golok telah melimpah naik secara mendadak terutamanya di tempat rendah. Rata-rata penduduk yang di lawati melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kerana keperihatinan warga PASTI Kelantan yang cepat bertindak menyampaikan bantuan kepada mereka.




IN MEMORIES OF..

"Sesungguhnya, kematian itu adalah milik kejadian"

23 Nov, Teluk Kemunting, Bachok

Seorang pelajar PASTI telah terkorban dalam satu kemalangan yang melibatkan tiga buah motosikal di Kg. Teluk Kemunting, Tawang, Bachok baru-baru ini. Mangsa adalah merupakan salah seorang pelajar PASTI Darul Islam, Bachok telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berhampiran.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 5.00 petang itu, mangsa membonceng motosikal bersama bapa saudaranya, telah dirempuh oleh sebuah motosikal. Ekoran itu, motosikal tersebut hilang kawalan, menyebabkan mangsa terjatuh serta dirempuh pula oleh sebuah motosikal 'mat rempit' dari arah belakang. Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala & dada. Lebih memilukan lagi, kejadian tersebut berlaku hanya beberapa meter dari rumah datuknya.



Sementara itu, pihak keluarga mangsa & penduduk sekitar yang ditemui melahirkan rasa kecewa dan marah dengan gejala rempit yang kian menjadi-jadi sejak akhir ini. Polis dan pihak berkuasa yang lain diminta melipatgandakan usaha bersama orang ramai bagi membenteras gejala berkenaan hingga ke akar umbi.

Keesokan harinya, rombongan pihak PASTI Kelantan telah menziarahi keluarga mangsa dan menyampaikan sumbangan dari Skim Tabung Kebajikan bagi meringankan bebanan keluarga mangsa.

Semoga Allahyarhamah Adik Nurshahirah bt Mohd Zain damai di daerah sana.